Perlu ‘pendekatan lembut’ untuk pulihkan pengganas, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Undang-undang Malaysia terlalu berat dan bersifat menghukum menyukarkan proses pemulihan pengganas di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2019.

“PENDEKATAN lembut” adalah cara terbaik memulihkan suspek pengganas kerana hukuman berat dan penjara hanya akan menyebabkan lebih banyak kebencian kepada pihak berkuasa, kata pakar keganasan.

Ahmad El-Muhammady, yang terlibat dalam pemulihan suspek pengganas di Malaysia memberitahu The Malaysian Insight, yang “hukuman menghukum atau berat hanya akan mewujudkan radikal, (tetapi) rehabilitasi atau pendekatan lembut mewujudkan manusia”.

Berdasarkan logik ini, Ahmad berkata Putrajaya perlu menggubal undang-undang baharu untuk menangani keganasan kerana pada masa sekarang terlalu banyak akta anti keganasan, termasuklah Kanun Keseksaan yang “merumitkan proses pemulihan.”

Ahmad mengulas usaha pasukan polis untuk membawa pulang 39 warga Malaysia yang kini tersadai di Syria selepas menyertai organisasi pengganas Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS).

“Tidak kisah jika anda terjebak dengan aktiviti berkaitan keganasan di sini (Malaysia) atau anda dibawa pulang dari Syria, proses pemulihan radikalisasi terhadap individu masih sama.

“Bezanya adalah kaedah atau modul pemulihan radikalisasi yang digunakan ke atas setiap mereka.

“Yang membimbangkan adalah prosesnya. Sebaik sahaja anda diserahkan kepada polis, anda akan disoal siasat. Polis akan mempunyai akses kepada tahap radikal anda. Adakah anda orang yang memang percaya atau hanya penyokong IS.

“Sebaik sahaja anda di bawa ke mahkamah, perbicaraan boleh mengambil masa sehingga tiga tahun. Dalam perkara ini, ramai militan yang saya jumpa meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara mereka dilayan dan proses perundangan yang lama,” kata Ahmad yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya lagi, kesukaran dihadapi militan sepanjang proses perbicaraan boleh menyebabkan mereka berdendam, malah jika didapati tidak bersalah sekali pun, wujud kemungkinan tinggi mereka akan terus berdendam.

“Saya jumpa pesalah yang disabitkan bersalah kerana keganasan dan dipenjarakan. Mereka merasakan tidak mendapat layanan yang adil dan ini boleh menambah tahap radikal mereka dalam penjara.

“Malah, jika dibebaskan sekali pun, perbicaraan mahkamah yang panjang boleh menyebabkan radikalisasi selepas itu. Sistem kita bersifat menghukum dan ini bukanlah penawarnya,” kata Ahmad.

Ahmad memberikan contoh suspek yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun hanya kerana memiliki bahan berkaitan pengganas IS.

“Hukuman terlalu berat. Dalam sebilangan kes, ada suspek dijatuhi penjara 12 tahun malah 20 tahun yang merupakan hukuman berat. Apa akan berlaku sebaik sahaja mereka dibebaskan?” soalnya.

Ahmad berpandangan program pemulihan menggunakan pendekatan lembut terbukti lebih berjaya memulihkan suspek pengganas.

“Sepanjang perbicaraan, anda tak terima sebarang proses pemulihan, hanya selepas dijatuhkan hukum, baharu anda terima. Setiap pengganas yang disabit bersalah akan dinilai bagi menentukan sejauh mana radikal mereka. Modul berbeza untuk setiap individu.

“Mereka akan mula dengan aspek keganasan. Kembali kepada pendekatan asas seperti solat dan faham perkara asas dalam Islam. Kemudian, mereka akan fahamkan anda tentang konsep Islam, konsep IS dan tentang jihad.

“Akan ada pakar untuk setiap topik dan ia bergantung kepada sejauh mana radikal orang tersebut. Seseorang dengan pengetahuan Islam yang mendalam akan menguruskan pengganas tegar,” katanya.

Tambahnya, hubungan masyarakat dengan polis adalah salah satu cara membantu suspek pengganas ini kembali pulih.

Beliau memberikan contoh majlis berbuka puasa anjuran Cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas Bukit Aman bersama-sama bekas militan hujung minggu lepas.

Majlis itu pertama kali dianjurkan polis pada 2003 untuk terus berhubung rapat dengan bekas militan.

“Bukan setakat itu, polis juga melawat bekas militan semasa Hari Raya. Hubungan seperti ini jauh lebih baik berbanding memenjarakan mereka,” katanya.

“Kita perlu pulihkan mereka berdasarkan pemahaman mereka mengenai keganasan dan IS. Jika apa yang kita lakukan hanya lah penjarakan mereka dan harap mereka okay, maka selepas 20 tahun (penjara) pun kita tak boleh mansuhkan ideologi yang mereka ada.” – 22 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen