Tiada kebebasan bersuara dalam Malaysia Baharu, kata Arun Kasi


Bede Hong

Peguam Arunachalam Kasi dibebaskan pagi tadi selepas 30 hari dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah pada 23 April lalu berkaitan dua artikelnya yang mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Mei, 2019. 

PEGUAM Arunachalam Kasi yang dibebaskan pagi tadi selepas 30 hari dipenjarakan kerana menghina mahkamah, menyeru supaya undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara termasuk kesalahan mencemar nama baik mahkamah, dimansuhkan.

“Pada pandangan saya, kes saya telah menetapkan batasan kebebasan bersuara,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

“Liberalisasi kebebasan bersuara, seperti melalui pemansuhan Akta Hasutan sebagaimana yang disebut oleh kerajaan hari ini dalam menifesto pilihan raya mereka.

“Ini masih belum dilakukan dan pada pandangan saya itu sahaja tak mencukupi. Kita perlukan akta untuk memansuhkan undang-undang seperti kesalahan mencemar nama baik mahkamah, macam yang dilakukan di UK.

“Jika tidak, kes saya ini akan menandakan kebebasan bersuara sudah berakhir.”

Arunachalam yang juga dikenali sebagai Arun Kasi berkata, England dan Wales telah memansuhkan kesalahan itu pada 2013.

Malaysia perlukan akta untuk memansuhkan undang-undang seperti kesalahan mencemar nama baik mahkamah, seperti yang dilakukan di UK,kata peguam Arunachalam Kasi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Mei, 2019.

Peguam berusia 45 tahun itu dihukum penjara 30 hari dan denda RM40,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah pada 23 April lalu berkaitan dua artikelnya yang mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah. 

Dalam dua artikel yang diterbitkan pada 16 Februari dan 22 Februari di portal Aliran, Arun didakwa mengkritik perjalanan prosiding Mahkamah Persekutuan dan keputusan yang dikeluarkan pada 11 November dalam kes PCP Construction lawan Leap Modulation.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Ramly Ali berpendapat kenyataan menghina yang dibuat Arun terhadap Mahkamah Persekutuan adalah sangat serius dan mencemarkan nama baik badan kehakiman secara keseluruhannya, serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman, mencemuh, memalukan dan menyinggung maruah, integriti serta kesaksamaan mahkamah.

Ramly berkata keengganan Arun menyatakan permohonan maaf mewajarkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.

Turut berada dalam panel hakim ialah Tengku Maimun Tuan Mat yang kini dilantik sebagai ketua hakim negara.

Ditanya jika menyesal dengan tindakan beliau, Arun menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya.

“Masuk penjara memang menyakitkan. Tetapi pada masa yang sama, saya dapat pengalaman.”  – 21 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen