HAMPIR separuh rakyat Malaysia yang menyokong kumpulan militan IS di Syria dan mahu pulang ke tanahair adalah kanak-kanak, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayub memberitahu The Malaysian Insight, kanak-kanak yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan itu dibawa ke Syria oleh ibu bapa mereka yang percaya kepada sistem Khalifah dan menyokong IS.
“Rakyat Malaysia yang ada di Syria sekarang ini seramai 65 orang dan 39 daripada mereka sudah menghubungi kami, mereka nak balik Malaysia.
“Daripada 21 orang dewasa, 11 adalah lelaki.
“Kanak-kanak dan wanita ini ditahan di kem pelarian Al-Houl di Raqqa,” katanya tanpa mendedahkan umur kanak-kanak terbabit.
Selepas kejatuhan Daesh, ramai rakyat Malaysia yang terkandas di Syria, di mana kanak-kanak dan wanita ditahan di kem pelarian manakala lelaki di penjara.
Mengulas berkenaan 39 orang yang mahu pulang ke Malaysia, Ayob berkata kebanyakan mereka adalah bekas pembantu restoran, peniaga dan surirumah.
Tambah beliau, hanya sekumpulan kecil lelaki yang pernah bekerja di sektor swasta. Salah seorang daripada mereka pernah bekerja sebagai pembantu perubatan.

“Pembantu perubatan itu menggunakan kepakarannya untuk merawat mereka yang cedera. Selain dia, ada yang peniaga, pembantu restoran, manakala wanita pula suri rumah,” kata Ayob.
“Wanita-wanita ini mereka tak terlibat dalam perang. Mereka cuma ikut suami mereka ke Syria dan bawa anak mereka sekali.
“Ada yang berasal dari Selangor, Sabah, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu.”
Statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendedahkan seramai 102 rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai Daesh pada awal 2013.
Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan Zainuri Kamaruddin yang merupakan dalang, adalah antara 35 rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria.
Laporan risikan kemudian mendedahkan lapan rakyat Malaysia adalah pengebom bunuh diri.
The Malaysian Insight difahamkan proses untuk membawa pulang 39 orang ini akan mengambil masa memandangkan ia perlu mendapat kelulusan dari kerajaan.
Sumber lain pula berkata, 39 rakyat Malaysia ini tiada arah tujuan selepas Daesh tumpas di Syria.
“Ada antara mereka yang membakar pasport sebaik tiba di Syria dan sekarang rasa menyesal. Jadi ada masalah lain pula,” katanya.
Kata sumber itu lagi, rakyat Malaysia yang pulang ke negara perlu menjalani program pemulihan.
“Sudah tentu mereka tak akan dibenarkan terus bergaul dengan masyarakat. Apabila sudah dibenarkan pun, mereka ini akan dipantau.”
Oktober tahun lalu, seorang wanita Malaysia dan dua anaknya dibawa pulang selepas suaminya terbunuh dalam pertempuran.
Mereka adalah rakyat Malaysia pertama yang dibawa pulang dari Syria sejak perang meletus di negara itu pada 2011. – 22 Mei, 2019.
Komen