DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur perlu menjaga kepentingan pemaju di bandaraya ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Ia bagi memastikan pemaju mempunyai keyakinan terhadap proses kerajaan, kata menteri yang berdepan pelbagai kritikan berhubung projek kontroversi Taman Rimba Kiara.
“Saya faham ramai yang tidak suka saya menjaga pemaju.
“Begitu juga dengan kerajaan kita perlu pastikan pemaju yakin yang apabila mereka mendapat arahan pembangunan, apa yang perlu mereka bayar, semuanya dihormati,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Kampung Baru malam ini.
Beliau mengulas mengenai bantahan umum untuk membantah projek Taman Rimba Kiara di Tamana Tun Dr Ismail untuk membina kondominium mewah.
Khalid dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang membantah projek berkenaan bersama penduduk Taman Tun Dr Ismail, secara terbuka tidak bersetuju antara satu sama lain berhubung projek pembangunan semula berkenaan.
Yeoh dan penduduk dibawah sepanduk elamatkan Taman Rimba Kiara mendakwa terdapat elemen rasuah dalam kelulusan projek berkenaan di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Kementerian Khalid mempunyai kepentingan terus dalam projek berkenaan menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan, yang memiliki tanah projek berkenaan.
Beberapa laporan telah dibuat kepada agensi anti-rasuah berhubung projek itu tahun lalu.
Khalid berkata, beliau bukan hanya menjaga penduduk TTDI tetapi juga kepentingan seluruh penduduk di bandaraya ini.
“Saya perlu fikirkan, dengan wang yang saya ada, apa yang terbaik boleh saya lakukan untuk seluruh penduduk KL. Bukan penduduk TTDI sahaja.
“Sebagai kerajaan, saya perlu menjaga kepentingan DBKL. Saya tak boleh hanya kata ok dan bayar RM150 juta (pampasan kepada pemaju Taman Rimba Kiara).
Khalid berkata beliau cuba untuk memastikan dana awam tidak digunakan untuk projek kerana ia boleh digunakan untuk sesuatu yang lebih baik.
“Saya tidak perlu belanjakan wang itu untuk membina rumah (kepada penduduk rumah panjang) kerana ia dibina oleh pemaju.
“Saya boleh jimatkan duit dan gunakannya untuk penduduk KL. Jadi, saya rasa saya telah jalankan tugas saya namun saya perlu adil dengan semua pihak berkepentingan lain.
“Saya tidak boleh menjaga penduduk TTDI dan tidak peduli dengan pemaju atau Dewan Bandaraya. Itu bukan kerajaan. Kita mesti menjaga semuanya.”
Projek untuk membina lapan blok pangsapuri mewah dan rumah mampu milik baru bagi bekas pekerja ladang yang kini tinggal di rumah panjang Bukit Kiara telah diluluskan pada 2014 ketika Tengku Adnan Tengku Mansor Barisan Nasional adalah menteri wilayah persekutuan.
Yayasan Wilayah Persekutuan kementerian itu adalah pemilik tanah dan rakan kongsi dengan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Malton Bhd.
Menurut perjanjian, Memang Perkasa akan menanggung kos pembangunan manakala yayasan akan menerima jumlah ditetapkan RM160 juta.
Khalid bagaimanapun cuba mengurangkan skala kondominiun berkenaan, dari lapan blok kepada empat, memberi kesan kepada sebahagian kecil taman berkenaan.
Bagaimanapun, penduduk membantah cadangan itu.
Yeoh dan penduduk membantah skop yang dicadangkan keseluruhannya atas dasar wujud elemen rasuah dan konflik kepentingan.
Mereka mahu pembinaan blok kondominium dibatalkan dan hanya perumahan mampu milik sebagaimana dijanjikan kepada bekas pekerja estet sahaja dibina di tapak rumah panjang tanpa menceroboh taman itu.
Yeoh dan penduduk TTDI juga mencadangkan pembinaan rumah bandar.
Kedua-dua cadangan itu akan diputuskan oleh kabinet. – 21 Mei, 2019
Komen