Brazil perlu luluskan pembaharuan keselamatan sosial, kata presiden


Kerajaan Brazil tidak akan memiliki wang untuk membayar gaji penjawat awam menjelang 2024 jika pembaharuan sistem keselamatan sosial tidak diluluskan sekarang, kata Presiden Jair Bolsonaro. – Gambar AFP, 21 Mei, 2019.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro pada Isnin berkata kerajaan tidak akan memiliki wang untuk membayar gaji penjawat awam menjelang 2024 jika pembaharuan sistem keselamatan sosial tidak diluluskan sekarang, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut presiden itu, negara tersebut tidak mempunyai wang dan “tidak boleh mencapai banyak kemajuan kerana kekurangan sumber.”

“Brazil tidak boleh terus memikul beban ini. Jika kita tidak melakukan pembaharuan, menjelang 2022, 2023 dan 2024, kita tidak akan memiliki wang untuk membayar gaji pekerja persekutuan,” katanya.

Kerajaan telah mencadangkan rang undang-undang pembaharuan keselamatan sosial pada awal tahun ini, namun cadangan itu amat kontroversi dan kerajaan berdepan penentangan ketara.

Sebagai satu pindaan perlembagaan, rang undang-undang itu memerlukan keputusan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Senat untuk kelulusan.

Pengkritik bimbang bahawa jauh daripada memerangi keistimewaan, rang undang-undang itu meletakkan beban yang berat ke atas bahu pekeja lebih miskin.

Di bawah undang-undang yang dicadangkan, rakyat Brazil perlu bekerja selama sekurang-kurangnya 40 tahun sebelum boleh bersara dengan pencen penuh.

Pembaharuan itu turut menetapkan usia persaraan minimum 65 bagi lelaki dan 62 bagi wanita.

Di sesetengah negeri di Brazil, jangka hayat tidak sampai 65 tahun, yang bermakna bahawa sesetengah pekerja mungkin tidak dapat hidup lama untuk menikmati faedah persaraan. – Bernama, 21 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen