PENYELARAS Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Libya mengutuk satu serangan yang menyebabkan bekalan air ke bahagian barat dan timur Libya terputus, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Misi Bantuan PBB di Libya semalam.
“Penyelaras Kemanusiaan PBB, Maria Ribeiro, mengutuk sekeras-kerasnya langkah ini yang bertujuan menyebabkan beratus-ratus ribu penduduk Libya yang telah sedia terjejas akibat peperangan daripada mendapat bekalan air minuman yang selamat,” menurut kenyataan itu.
“Serangan sedemikian terhadap infrastruktur awam yang penting untuk kelangsungan hidup penduduk awam mungkin dianggap sebagai jenayah perang,” kata pegawai PBB itu.
Ribeiro juga mengingatkan semua pihak di Libya mengenai “kewajipan mereka di bawah Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa bagi memastikan keselamatan semua orang awam dan infrastruktur awam termasuk sekolah, hospital dan utiliti awam terutama air dan elektrik.”
“Serangan berterusan ke atas sistem air terus menjejaskan tahap kesihatan dan kebersihan dalam kalangan penduduk awam terutama mereka yang paling lemah termasuk kanak-kanak dan menyebabkan kesukaran serta kemungkinan kehilangan tempat tinggal,” menurut kenyataan itu.
Sekumpulan lelaki menyerbu sebuah stesen bekalan air di pekan al-Shwayrif, kira-kira 400 kilometer di selatan ibu kota Tripoli dan memaksa pekerjanya menutup bekalan ke bahagian barat dan tengah Libya, kata Kementerian Dalam Negeri kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kementerian itu menuduh tentera musuh yang berpangkalan di timur memutuskan bekalan air dan menyatakan bahawa kumpulan bersenta terbabit adalah “bersekutu dengan tentera tersebut” yang telah bertempur dengan kerajaan untuk menguasai Tripoli sejak awal April.
Libya telah terjerumus dalam kancah keganasan yang semakin memuncak serta ketidakstabilan politik sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011. – Bernama, 21 Mei, 2019.
Komen