Mesir akan bebaskan pengkritik al-Sisi


Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengambil alih kuasa pada 2014 selepas mengetuai penggulingan pendahulunya, Mohamed Morsi. – Gambar AFP, 21 Mei, 2019.

PIHAK berkuasa Mesir mengarahkan bekas diplomat yang ditahan kerana mencadangkan referendum mengenai rejim Presiden Abdel Fattah al-Sisi dibebaskan, kata peguamnya semalam.

Masom Marzok, bekas pembantu menteri luar, ditahan pada Ogos tahun lalu selepas secara terbuka mengkritik Sisi.

Marzok adalah veteran perang Arab-Israel pada 1973. Beliau merupakan salah seorang daripada beberapa aktivis yang ditahan atas beberapa dakwaan termasuk bersekutu dengan organisasi keganasan dan terlibat dalam konsprisai keganasan.

“Arahan membebaskan duta besar Masom Marzok sudah disahkan,” kata peguam bela, Khaled Ali di Facebook.

Antara aktivis lain yang ditahan bersama Marzok termasuklah ahli ekonomi Raied Salama dan profesor geologi Yehia al-Qazzaz juga akan dibebaskan, kata Ali.

“Mereka mungkin akan dibebaskan dalam tempoh beberapa jam,” tambahnya.

Sisi yang merupakan bekas ketua tentera, mengambil alih kuasa pada 2014 selepas mengetuai penggulingan pendahulunya, Mohamed Morsi susulan protes besar-besaran terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin itu.

Sisi dipilih semula pada Mac 2018 dengan mendapat undi 97 peratus selepas bertanding tanpa pencabar.

Bulan lepas, rakyat Mesir mengundi untuk pindaan perlembagaan yang membolehkan pemerintahan Sisi dilanjutkan sehingga 2030. – AFP, 21 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen