Pakatan Pulau Pinang tubuh majlis pimpinan 


Looi Sue-Chern

Majlis itu secara rasminya ditubuhkan pada Ahad, susulan mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat DAP.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2019

PAKATAN Harapan Pulau Pinang menubuhkan majlis pimpinan bagi merapatkan lagi kerjasama antara parti komponen. 

Majlis itu secara rasminya ditubuhkan pada Ahad, susulan mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat DAP, kata setiausaha majlis Lim Hui Ying. 

“Majlis itu secara rasminya akan menjadi jawatankuasa utama untuk PH Pulau Pinang bagi meningkatan kordinasi dalam kalangan ahli parti dan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Lim berkata, majlis itu mempunyai 20 pemimpin, yang mana setiap parti komponen PH mempunyai lima wakil tetap. 

Ketua Menteri yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow ialah pengerusi majlis berkenaan, manakala timbalannya adalah ketua negeri parti komponen - Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR), Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah) dan Marzuki Yahaya (Bersatu).

Lim, yang merupakan senator Dewan Negara dari DAP, dilantik sebagai setiausaha, manakala timbalan menteri pertanian dan industri asas tani dan timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang Sim Tze Tzin adalah bendahari. 

Ahli majlis yang lain termasuk timbalan ketua menteri I dan II Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR) dan Dr P. Ramasamy (DAP), exco negeri Jagdeep Singh Deo (DAP), Zairil Khir Johari (DAP), Adun Kebun Bunga Jason Ong Khan Lee (PKR) dan ketua Wanita Amanah negeri Aida Yusof.

Pemimpin parti lain dala majlis berkenaan adalah Zulkiefly Saad dari PKR; Mohd Rizal Akhir, Mohd Saifullah Abd Nasir dan Zahar Zainul dari Amanah; dan Azahari Aris, Azlina Mehtab Mohd Ishaq, Fakhruz-Zaman Ahmad dan Mohamad Kamal Fairos Mohamad Ibrahim dari Bersatu.

Pakatan Harapan Pulau Pinang memenangi 37 daripada 40 kerusi negeri pada Pilihan Raya Umum ke 14. Ia turut memenangi 12 daripada 13 kerusi Parlimen di negeri itu. – 21 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen