MAJLIS Peralihan Tentera Sudan (TMC) dan satu pakatan pembangkang pada Selasa berikrar untuk bekerjasama bagi mencapai “perjanjian segera” ketika meneruskan rundingan mereka, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan bersama kedua-dua pihak.
TMC dan Pakatan Kebebasan dan Perubahan bagaimanapun masih berbeza pendapat berkaitan isu wakil tentera dan orang awam dalam majlis kedaulatan peralihan serta kepengerusian badan pemerintah baharu itu, menurut kenyataan tersebut.
TMC, yang ditugaskan untuk mentadbir negara susulan penyingkiran bekas Presiden Omar al-Bashir, dan pakatan pembangkang itu baru-baru ini mencapai kata sepakat mengenai kuasa majlis kedaulatan, majlis menteri dan majlis legislatif.
Mereka juga bersetuju bahawa tempoh peralihan ialah tiga tahun dengan enam bulan pertama diperuntuk bagi mencapai keamanan di seluruh Sudan dan majlis legislatif adalah terdiri daripada 300 anggota, 67 peratus daripadanya adalah dari Pakatan Kebebasan dan Perubahan. – Bernama, 21 Mei, 2019.
Komen