LELAKI yang menembak mati 51 jemaah dalam serangan pengganas di masjid Christchurch secara rasmi didakwa dengan tuduhan keganasan buat pertama kalinya hari ini, kata polis New Zealand.
Sebagai tambahan kepada tuduhan keganasan, Brenton Tarrant juga berdepan 51 tuduhan pembunuhan dan 40 percubaan bunuh atas serangan yang berlaku pada 15 Mac lalu.
“Tuduhan itu akan mendakwa bahawa tindakan pengganas itu dilakukan di Christchurch,” kata polis dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menyifatkan pembunuhan di masjid itu sebagai serangan pengganas yang dirancang dengan baik.
Tetapi sehingga kini tuduhan terhadapnya kurang meluas kerana Akta Tindakan Keganasan New Zealand hanya diperkenalkan pada 2002 dan belum diuji di mahkamah.
Polis berkata, keputusan untuk mendakwa lelaki itu sebagai pengganas dilakukan selepas berunding dengan pendakwa dan pakar undang-undang kerajaan.
Tarrant seorang warga Australia berusia 28 tahun kini berada dalam penjara keselamatan tertinggi.
Dia dijangka dihadapkan semula ke mahkamah pada Jun ini. – AFP, 21 Mei, 2019.
Komen