AS pandang rendah kekuatan Huawei


PENGASAS Huawei Ren Zhengfei mengecam cubaan AS menyekat cita-cita global syarikatnya, berkata AS memandang rendah terhadap kekuatan gergasi telekom itu.

Ren bercakap kepada media China beberapa hari selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan menyasarkan kepada perniagaan Huawei di AS, dalam usaha terbaru untuk menghentikan dominasi syarikat itu dalam teknologi 5G untuk generasi akan datang.

“Amalan terkini ahli politik AS memandang rendah kekuatan kami,” kata Ren, menurut transkrip kepada media.

“5G Huawei tidak akan terjejas. Daripada segi teknologi 5G, yang lain tidak akan mampu mengejar Huawei dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya.

Minggu lalu, Trump mengisytiharkan darurat yang memberikannya kuasa menyenaraihitamkan syarikat dilihat sebagai “berisiko kepada keselamatan negara AS” – satu langkah yang dipercayai disasarkan kepada Huawei. – AFP, 21 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen