SPRM nafi tidak bertindak atas aduan rasuah projek Taman Rimba Kiara


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mereka tidak bertindak atas aduan rasuah melibatkan kontroversi projek Taman Rimba Kiara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mei, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mereka tidak bertindak atas aduan rasuah melibatkan kontroversi projek Taman Rimba Kiara, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki.

“Tidak benar kami tidak bertindak terhadap skandal ini. Kami menjalankan siasatan awal dan telah membuka semula kes berkenaan.

“Yang terbaru salah seorang pegawai ditugaskan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pihak berkaitan untuk memperkuatkan lagi penyiasatan kami.

“Kami akan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan akan mengemukakan laporan siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat lanjut,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh baru-baru ini menyindir SPRM dengan mengatakan badan anti rasuah itu perlu tutup kedai sekiranya tidak dapat mencari unsur kesalahan dalam kes Taman Rimba Kiara.

Beberapa laporan SPM mengenai kes telah direkod, yang pertama oleh penduduk Taman Tun Dr Ismail pada Mei 2017 diikuti oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada November tahun yang sama.

Yeoh membuat laporan lain pada Mei tahun lepas.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) juga telah mengemukakan lebih banyak penemuan kepada SPRM selepas menjalankan penyelidikan sendiri ke atas projek yang dicadangkan.

Projek untuk membina lapan blok pangsapuri mewah dan rumah mampu milik baharu bagi bekas pekerja perladangan yang kini tinggal di rumah panjang Bukit Kiara telah diluluskan pada 2014 ketika Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Yayasan Wilayah Persekutuan di bawah kementerian itu merupakan rakan kongsi pemilik tanah dan usahasama dengan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd yang dimiliki oleh Malton Bhd.

Menurut perjanjian usaha sama, Memang Perkasa akan menanggung kos pembangunan manakala yayasan akan menerima jumlah tetap RM160 juta. – 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen