LEBIH ramai saksi akan dipanggil bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatannya terhadap skandal RM17 juta melibatkan bekalan alat ganti untuk kenderaan berperisai.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki berkata, siasatan masih dalam peringkat awal dan saksi sedang dalam proses dikenal pasti.
“Kes ini masih di peringkat awal dan kami sedang memanggil lebih ramai saksi bagi membantu siasatan. Berapa ramai, saya tidak pasti,” katanya selepas melancarkan program latihan untuk pegawai anti-rasuah di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, SPRM menahan seorang pemilik syarikat kerana didakwa merasuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan kontrak perolehan.
Penangkapan itu dibuat seminggu selepas dua pegawai kanan Defence Technology Sdn Bhd (Deftech) ditahan atas kes sama.
Suspek yang ditahan selama empat hari sehingga Jumaat ini diberkas malam tadi sekitar jam 11 malam ketika muncul di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk merekodkan kenyataannya.
SPRM sebelum ini menahan dua pegawai kanan Deftech, sebuah anak syarikat DRB Hicom Berhad berhubung dakwaan ada rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017. – 21 Mei, 2019.
Komen