Hishammuddin lapor SPRM kes tukar tanah


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata pihaknya akan mengkaji semua laporan dibuat sebelum memanggil saksi untuk soal siasat berhubung urus niaga tukar tanah yang meragukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Mei, 2019.

BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga pertukaran tanah yang meragukan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata laporan itu diserahkan kepada agensi itu oleh salah seorang pegawai khas Hishammuddin.

“Kami terima laporan daripada Kementerian Pertahanan (Kementah) terlebih dulu dan kami sedang mengkaji kes itu, tetapi kami turut menerima laporan daripada bekas menteri pertahanan Hishammuddin.

“Kami akan kaji semua laporan dan memanggil mereka yang terbabit dalam urus niaga tanah itu. Tidak ada yang akan terkecuali,” kata Azam kepada wartawan pada majlis penutup latihan untuk pegawai SPRM di Kuala Lumpur hari ini.

Azam turut ditanya adakah SPRM akan memanggil seorang lagi bekas menteri pertahanan iaitu Ahmad Zahid Hamidi, dan Azam berkata ada kemungkinan.

“Ada kemungkinan itu. Kami akan kaji kes itu dan lihat siapa akan dipanggil untuk soal siasat.”

SPRM belum memanggil saksi berhubung perkara itu sejak Kementah membuat 14 laporan berhubung urus niaga pertukaran tanah minggu lalu.

Semua laporan itu dibuat oleh Nasaie Ismail, pegawai khas kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Urus niaga itu berlaku pada 1990-an dan diluluskan ketika pentadbiran terdahulu Barisan Nasional.

Laporan itu dibuat selepas Kementah mengeluarkan satu laporan khas audit tentang 16 urus niaga tukar tanah yang turut termasuk bangunan pangkalan tentera di kawasan Parlimen tertentu untuk menambah undi kepada ahli politik Umno terpilih.

Ia dilakukan sebelum PRU14 tahun lalu, menyebabkan ribuan anggota tentera dan keluarga mereka boleh dipindahkan ke pangkalan terbabit. – 21 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen