Final GoT tarik 19.3 juta tontonan


Takhta Besi gergasi dipamerkan di Radio City Music Hall di New York ketika tayangan siri Game of Thrones musim kelapan yang juga terakhir. – Gambar AFP, 21 Mei, 2019.

EPISOD akhir siri akhir drama Game of Thrones menarik 19.3 juta tontonan petang ahad di Amerika Syarikat (AS), memartabatkan status kisah epik fantasi itu sebagai siri televisyen paling ramai ditonton dalam sejarah HBO.

HBO berkata angka itu direkodkan dari seluruh platform – HBO, HBO Go dan HBO NOW dan dijangka akan melebihi jumlah 18.4 juta tontonan minggu lalu.

“Musim ke-8 Game of Thrones secara puratanya mendapat 44.2 juta penonton setiap episod dan meningkat lebih 10 juta penonton berbanding musim ke-7,” kata HBO dalam satu kenyataan.

“Tambahan lagi, episod itu mendapat rekod siaran paling ramai tontonan di HBO, dengan 13.6 juta penonton ketika disiarkan pada 9 malam,” katanya.

Rekod terdahulu untuk siaran tunggal dalam sejarah HBO, 13.4 juta tontonan dipegang oleh siaran perdana musim ke-4 “The Sopranos” pada 2002.

Rekod bagi rancangan televisyen paling ramai tontonan di AS masih dipegang oleh komedi MASH Korean War yang menarik hampir 106 juta penonton untuk episod akhir pada 1983. – AFP, 21 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen