SEORANG lelaki yang menyebabkan kekecohan di Menara Eiffel semalam ditahan selepas bergayut di mercu tanda Paris itu lebih enam jam.
Syarikat bertanggungjawab mengendalikan operasi menara itu dalam satu kenyataan berkata, lelaki tidak dikenali berkenaan berada dalam tahanan pasukan kecemasan yang dikerahkan ke menara itu sebelum ia mula dibuka kepada pelancong awal hari ini.
Menurut kenyataan itu, anggota bomba menggunakan tali untuk turun dari dek peninjau di tingkat tiga berjaya menghampiri lelaki berkenaan dan memujuknya untuk turun.
“Dia kini dalam tahanan,” kata seorang pegawai polis.
Prosedur kecemasan diaktifkan sebaik lelaki terbabit memanjat menara itu tanpa kebenaran, sekali gus memaksa orang ramai dibawa keluar dari monumen ikonik itu termasuk dari bahagian bawah dan sebahagian besar kawasan bersambung dengan taman Champ de Mars, tengah hari semalam.
Penutupan mengejut tarikan pelancong terbesar Paris itu menyebabkan semua pengunjung yang merancang menaiki menara setinggi 324 meter berkenaan kecewa. – AFP, 21 Mei, 2019.
Komen