FORD bercadang menghentikan 7,000 pekerjaan atau 10% daripada tenaga kerja bergaji sebagai sebahagian langkah penyusunan semula ketika ia memperbaharui tawaran kenderaannya, kata syarikat itu.
Pengurangan itu akan membabitkan beberapa pemberhentian dan semakan perjawatan staf kolar putih dan akan lengkap pada hujung Ogos, kata jurucakap Ford.
Ford mula menghentikan hampir semua model sedan di Amerika Syarikat kerana pengguna memilih trak pikap dan kenderaan utiliti (SUV).
Langkah itu yang bermula lewat tahun lalu dan diikuti dengan beberapa pemberhentian kerja diumumkan lebih dulu di wilayah lain, akan membawa kepada 800 pekerja diberhentikan di Amerika Utara secara keseluruhan termasuk kira-kira 500 lagi minggu ini, kata jurucakap Ford Marisa Bradley.
Syarikat itu belum lagi memaklumkan secara khusus di wilayah lain, katanya.
Tindakan itu dijangka menjimatkan AS$600 juta setahun, dilakukan ketika Ford meningkatkan pelaburannya dalam kereta elektrik dan teknologi pemanduan autonomi, mengintai pertumbuhan masa depan dalam perniagaan yang pada masa ini keuntungannya berkait rapat dengan jualan kenderaan konvensional di Amerika Utara termasuk trak pikap F-150.
Ford mempunyai 199,000 pekerja, termasuk tenaga kerja di bawah kesatuan sekerja pada hujung 2018, berkurangan daripada 202,000 pada tahun sebelumnya. – AFP, 21 Mei, 2019.
Komen