Lebuh Raya Pan Borneo bawa suka dan duka


Salhan K. Ahmad

Matahari terbenam pada hari kedua bulan Ramadan. Para pekerja di tapak Lebuh Raya Pan Borneo menamatkan tugas sekitar jam 6.30 petang. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

MARIA Limbin hanya mampu meleteri cucunya agar tidak bermain di halaman rumah – yang kini berbaki seluas satu lorong dan hanya muat untuk meletak kereta.

Suri rumah itu bimbang cucunya akan terkena sisa binaan atau tergelincir dari tebing setinggi lebih 10 kaki di tepi rumahnya, yang terhasil akibat dikorek kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo.

Maria menyedari bahawa projek lebuh raya tersebut akan membawa keselesaan dan kemakmuran kepada kampungnya, tetapi apa yang dapat dirasakannya pada masa ini hanyalah derita.

Kontraktor itu datang ke rumahnya untuk kali ketiga pada April, dengan membawa jentera yang membaham tanah serta dua lagi bilik tidur serta tandas.

“Sekarang kami terpaksa guna tandas sementara guna tong,” kata Maria yang menunjukkan keadaan rumahnya di Kampung Jugan di Jalan Bau-Sematan.

Maria, 65, kesal kerana setiap kali kontraktor berkenaan tiba, keluarganya terpaksa membelanjakan wang untuk memperbaiki rumahnya bernilai RM160,000 itu agar dapat terus diduduki.

Maria Limbin di rumahnya yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek Lebuh Raya Pan Borneo. Rumah ganti yang diberikan masih belum siap, sedangkan wang pampasan diberikan hampir habis menampung hidup. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

“Setiap kali ukur (tanah) mereka cakap ikut pelan baharu. Tiga minggu lepas terpaksa alih lagi,” katanya yang menunjukkan keadaan rumahnya yang kacau bilau.

Rumah ganti belum siap

Mereka terpaksa kekal di situ kerana rumah gantian yang dibina di dalam kebun mereka masih tidak dapat diduduki sedangkan wang pampasan sebanyak RM100,000 sudah banyak dibelanjakan.

“Sepatutnya mereka utamakan ganti rumah dahulu. Tapi sekarang rumah sudah roboh, rumah belum siap.

“Kami buat pondok kecil saja di tanah kebun sebagai ganti, jauh di dalam bukit sana tapi masih tidak boleh masuk bekalan elektrik sebab (Sarawak Energy) suruh bina binaan kekal juga.

“Untuk masukkan bekalan elektrik perlu banyak tiang juga,” katanya kesal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jugan, yang terletak dalam jajaran Sematan – Sungai Moyan.

Kediaman Maria adalah antara ribuan rumah serta tanah yang terjejas untuk 11 pakej bagi jajaran menghubungkan Teluk Melano hingga ke Miri sejauh 780 kilometer.

Kelihatan rumah Maria Limbin terjejas akibat kerja projek Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Bau, Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

Projek tersebut kini sudahpun mencapai kemajuan 40%, menurut pemaju, Pan Borneo Highway dan kerajaan persekutuan juga dilaporkan berpuas hati dengan prestasi tersebut.

Seorang penyelia tapak projek, Alfred Joko dari Kuching berkata beliau menyaksikan projek tersebut berjalan dengan rancak kerana dilaksanakan serentak di kesemua pakej untuk Fasa 1.

“Sekarang saja selia kerja untuk turap kerikil untuk bahagian ini sejauh 270 meter. Sejak dua bulan lepas, sudah siap dua kilometer,” katanya ketika ditemui di tapak projek di Musi, berhampiran Bau.

Janji gaji lumayan

Ramai yang sanggup meninggalkan pekerjaan lama mereka kerana tertarik dengan kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan yang menjanjikan bayaran lumayan.

Antaranya Dinarti Kuriyadi, 23 yang berasal dari sebuah kampung pedalaman di Kalimantan Barat. Katanya beliau tidak kisah bekerja di bawah hujan dan terik matahari kerana gaji tinggi.

Namun beliau masih belum tahu berapa gaji sebenar yang sepatutnya diterima kerana masih belum menerima gaji walau sudahpun bekerja genap satu bulan.

“Sepatutnya sudah masuk buku baharu. Saya tidak tahu berapa tapi dijanjikan lebih tinggi daripada dahulu,” katanya ketika ditemui di tapak projek berhampiran Sematan.

Beliau pada mulanya bekerja menanam padi di kampungnya di Sambas dan kemudian menanam sayur di Miri dengan gaji rendah.

Penyelia tapak projek, Alfred Joko berkata projek mega Borneo itu sedang berjalan rancak. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

“Gaji tidak sampai RM1,000 (di Miri) tapi banyak dipotong. Kena bayar permit, hutang makan di kantin dan lain-lain,” katanya sambil menyambung tugas merakam pergerakan lori.

Lori berkenaan mengangkut tanah yang dipotong daripada bukit untuk diisi di kawasan lereng bagi jajaran baharu di jalan tersebut.

Walau penat bekerja di bulan puasa, Dinarti berkata tugas ini lebih menyenangkannya berbanding kerja di sawah padi dan ladang sayur.

“Di sini aman, tiada orang kacau. Saya keluar kem pekerja jam 6.30 pagi habis kerja jam 6.30 petang. Pada hari minggu tamat jam 3.30 petang. 

“Kalau cuaca tidak elok, kadang-kadang jam 11.30 pagi pun sudah balik,” katanya lagi sambil merakam waktu dan nombor pendaftaran lori yang melalui kawasannya.

Bawa kemakmuran, kematian

Salah satu pakej itu siap pada Januari lalu – menghubungkan Sematan dengan Teluk Melano, sebuah kampung nelayan di hujung Borneo yang sebelum ini hanya dapat dicapai dengan bot.

Jalan baharu tersebut membawa kesan baharu yang mendadak kepada penduduk Teluk Melano yang berjumlah lebih 300 orang, kata seorang warga tempatan, Mohamad Piee, 62.

“Kesannya, kelmarin sudah ada kemalangan di sini. Ada seorang meninggal, keretanya terbalik masuk ke longkang,” kata Mohamad ketika ditemui di rumahnya di belakang SK Teluk Melano.

Sebelum jalan tersebut siap pada Januari, kemalangan maut seperti itu tidak pernah berlaku. Semua perhubungan ke bandar terdekat, Sematan hanya boleh dilakukan melalui jalan laut.

Ia turut membawa kemakmuran baharu, kata Mohamad yang tidak lagi menoreh getah. Jalan tersebut membawa ramai pelancong dan beliau mengambil kesempatan membuka kedai makan.

Namun beliau masih mengusahakan tanaman lada sebanyak 400 pokok walau harga lada hitam jatuh ke paras RM20 sekilogram berbanding RM50 sebelum ini.

Mohamad Piee, 62, dahulunya menoreh getah tetapi kini membuka kedai makan kerana projek Lebuh Raya Pan Borneo membawa peluang baharu kepada penduduk setempat. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

Jelasnya, walau pendapatan dari hasil tanaman berkurangan, mereka dapat membeli barangan dengan harga lebih murah berbanding sebelumnya, ketika bergantung kepada pengangkutan laut.

“Contohnya bahan binaan untuk buat kedai ini. Kalau diangkut guna bot, lebih mahal sebab perlu bayar upah orang memikulnya lagi, tidak termasuk tambang bot.

“Lepas jalan raya siap, saya pesan semuanya dari kedai di Sematan. Mereka hantar tanpa sebarang kos tambahan,” katanya lagi.

Pakej menghubungkan Teluk Melano bermula pada September 2015 dan mengambil masa 39 bulan untuk disiapkan.

Keseluruhan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dijadualkan siap menjelang Jun 2021. – 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen