PIHAK berkuasa Turki hari ini mengarahkan 249 kakitangan kementerian luarnya termasuk bekas kakitangan, ditangkap kerana disyaki terlibat dengan kumpulan yang dituduh menjadi dalang cubaan rampasan kuasa pada 2016, kata pejabat pendakwa raya.
Pejabat pendakwa raya di Ankara berkata sekurang-kurangnya 78 orang sudah ditangkap.
Operasi tangkapan merupakan sebahagian daripada siasatan di 42 bandar berkenaan dakwaan terdapat kejanggalan dalam ujian kemasukan ke kementerian itu yang memihak kepada anggota gerakan pendakwah Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Menurut pejabat pendakwa raya, suspek menyertai kementerian luar Turki antara 2010 dan 2013.
Seramai 14 orang yang masih berkhidmat di kementerian manakala selebihnya telah dipecat.
Ankara menuduh Gullen dan pengikutnya sebagai dalang kepada cubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016.
Gerakan itu menafikan sambil menegaskan bahawa ia sebuah gerakan yang menggalakkan pendidikan dan Islam sederhana. – AFP, 20 Mei, 2019.
Komen