POLIS memasang lebih banyak pagar dawai berduri pada Isnin untuk memperketatkan keselamatan di luar agensi pilihan raya Indonesia dan bersiap sedia dengan trak berperisai serta penyembur air sekiranya berlaku sebarang kekacauan apabila keputusan rasmi pilihan raya presiden dikeluarkan minggu ini.
Menurut Reuters, sejak Komisi Pemilihan Umum (KPU) bakal mengumumkan kiraan undi pilihan raya bulan lalu pada Rabu, pihak berkuasa sudah menahan puluhan militan Islam yang disyaki merancang serangan untuk mencetuskan keganasan semasa demonstrasi.
Keputusan dijangka mengesahkan jumlah tidak rasmi oleh peninjau bebas yang mengatakan penyandang Presiden Joko Widodo mendahului 10% di depan Prabowo Subianto.
Walaupun pemerhati dan penganalisis bebas mengatakan tinjauan itu bebas dan adil, Prabowo enggan mengakui kekalahan, dengan pasukan kempennya mendawa berlakunya “penipuan dan penyelewengan besar-besaran” berlaku semasa undian dan pengiraan undi.
Jeneral bersara itu berkata situasi berkenaan boleh mencetuskan protes “kuasa rakyat”, sementara kerajaan dan polis menggesa penunjuk perasaan menjaga keharmonian dan berikrar mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mencetuskan kekacauan.
Panel pengawas pilihan raya Indonesia menolak dua aduan rasmi penipuan pilihan raya, berdasarkan alasan bukti pelanggaran tidak mencukupi.
Pasukan keselamatan bersenjata mengawal di luar suruhanjaya pilihan raya di Jakarta dan sebahagian mereka diiringi oleh anjing polis.
Minggu lalu, ketua menteri keselamatan Wiranto mengarahkan polis dan tentera di seluruh Indonesia menghalang penduduk luar bandar ke Jakarta secara beramai-ramai untuk menyertai protes.
Di Wilayah Jawa Timur, lebih 1,200 penyokong Prabowo dihalang daripada meneruskan perjalanan ke ibu kota.
“Mereka ini menaiki bas, kereta dan kereta api untuk menyertai perhimpunan pada 22 Mei,” kata jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera. “Kami menghalang mereka.”
Pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama, juga menggesa orang ramai tidak menyertai perhimpunan, mengatakan masjidnya tidak akan menerima penunjuk perasaan dari luar ibu kota, kecuali mereka yang ingin bersolat, kata media.
Polis yang melaporkan secara langsung kepada Widodo, juga mengadakan atau menyoal siasat sekurang-kurangnya tiga pemimpin pembangkang utama kerana disyaki bersubahat.
Minggu lalu, polis menahan kira-kira 30 suspek militan yang mempunyai hubungan dengan Jemaah Ansharut Daulah (JAD), kumpulan terbesar Indonesia yang dikaitkan dengan Islamic State, termasuk beberapa yang mampu menggunakan rangkaian Wi-Fi untuk mengawal letupan.
Melalui amaran keselamatan, kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta menasihatkan rakyat agar mengelak berada kawasan demonstrasi besar. Kedutaan Australia juga memberi amaran bahawa protes mungkin secara tidak diduga bertukar menjadi ganas.
Widodo kini mendahului 55% undi, sementara Prabowo 45%, menurut 90% undi rasmi panel.
Sebaik sahaja keputusan rasmi dikeluarkan, parti yang kalah boleh membuat bantahan undang-undang di mahkamah perlembagaan. Jika tidak, suruhanjaya akan mengisytiharkan pemenang secara rasmi pada 28 Mei.
Prabowo masih belum mengesahkan sama ada beliau berhasrat untuk ke mahkamah, tetapi bantahan terhadap kekalahannya di tangan Widodo pada 2014 ditolak. – Agensi, 20 Mei, 2019.
Komen