Rumah perlindungan peluang kedua remaja sesat jalan


Nabihah Hamid

Secara purata, 50 remaja mendaftar di rumah perlindungan Raudhatus Sakinah setiap tahun, setiap seorang datang dengan pelbagai isu dan masalah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 September, 2017.

BERSABAR dan banyak bersabar. Sikap itu sangat penting untuk jadi pembimbing kepada gadis remaja bermasalah yang mendaftar di Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah (RS), kata pengurusnya, Muha Anun Mohd Noor.

Didirikan hampir 20 tahun lalu oleh sebuah badan masyarakat, Raudhatus Sakinah bercita-cita menyediakan ruang untuk membimbing remaja terlanjur serta menolong mereka merebut kembali hidup yang hilang punca dan meletakkannya kembali ke hala tuju yang berguna.

Pelatih Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah sedang mengikuti salah satu kelas yang disediakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 September, 2017.

Tugas 10 warden dan 20 kaunselornya bergelut dengan cabaran kerana kebanyakan remaja yang masuk ke rumah perlindungan datang dengan sebeban masalah daripada masa lalu yang hancur, daripada jadi mangsa penderaan seksual oleh darah daging sendiri sampailah kepada ketagihan dadah, pornografi dan seks.

Muha berkata sejak kebelakangan ini, banyak remaja ini, yang dirujuk oleh sebagai pelatih, kurang pegangan moral dan prinsip.

“Apabila kita mendidik mereka, kena mula dengan sabar, lebih rasional dan tenang. Kami ibarat kakak-kakak kepada remaja ini,” katanya yang sudah 10 tahun bekerja di Raudhatul Sakinah dan setahun menjadi pengurus operasi di Selangor.

CINTA DAN DIDIKAN UNTUK IBU TANPA NIKAH

Purata 50 remaja mendaftar di rumah perlindungan ini setiap tahun, setiap seorang datang dengan pelbagai isu dan masalah.

“Sekarang ini remaja, isu akhlak tidak dititikberatkan sejak awal.

“Kalau dulu, remaja bermasalah sebelum ini masuk sebab zina tapi akhlaknya baik tetapi sekarang dengan ada masalah akhlak juga,” kata Muha.

Raudhatus Sakinah ada tiga cawangan, masing-masing di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang. Sistem dan operasi semua cawangan ini sama – setiap warden diberi amanah mengendalikan 10 remaja yang diwajibkan tinggal sekurang-kurangnya 15 bulan.

Selain bimbingan agama dan rohani, Raudhatus Sakinah juga menyediakan latihan kemahiran seperti menjahit, memasak dan kraf tangan serta kemudahan aktiviti riadah.

Remaja yang masuk ke pusat ini bergelut dengan pelbagai isu disiplin dan akhlak termasuk ketagihan pornografi sehingga membawa kepada pergaulan bebas, terlanjur dan mengandung di luar nikah. Ada juga yang dihantar oleh keluarga selepas mendapati anak itu jadi mangsa sumbang mahram.

Hidup atas sumbangan

Kos mengendalikan tiga rumah perlindungan ini mencecah RM60,000 sebulan, sebahagian besarnya iaitu sehingga 60% datang daripada sumbangan orang ramai, kata Ketua Pegawai Esekutif Raudhatus Sakinah Rosmawati Zainal.

Ketua Pegawai Esekutif Raudhatus Sakinah Rosmawati Zainal berkata kos mengendalikan tiga rumah perlindungan ini mencecah RM60,000 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 September, 2017.

Katanya, setiap pelatih dikenakan yuran bulanan RM300, walaupun sesetengahnya ada yang dikecualikan jika disahkan keluarganya tidak mampu.

“Bukan duit yang kita pandang. Ini proses untuk membangunkan jiwa anak-anak ini. Kita perlu NGO untuk mendidik masyarakat. Kita tahu memang perlukan duit yang banyak.

“Di RS kita sangat bersederhana. Kita tidak pakai aircond. Kita utamakan keperluan dan tidak bermewah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Di Selangor, penghuninya paling ramai mencecah 30 pelatih. Hanya 15% kosnya ditanggung daripada yuran pelajar, manakala 25% lagi ditokok dengan bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Walaupun mereka (pelatih) perlu bayar, tapi hanya separuh saja daripada kos sebenar. Untuk kos lain kami dibantu pusat zakat dan paling utama adalah dana awam daripada masyarakat,” katanya.

Semakan The Malaysian Insight mendapati tiada peruntukan khas diberikan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada rumah perlindungan.

Tiada peruntukan spesifik untuk rumah perlindungan bagi menangani masalah sosial diperuntukkan pada Bajet 2017. Kerajaan sebaliknya memperuntukkan RM200 juta untuk program Tabika dan Taska di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun pada 2010, JKM pernah memperuntukkan RM2.3 juta kepada 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 2006 yang menyediakan khidmat penjagaan dan perlindungan kepada remaja hamil luar nikah.

“Saya rasa tiada peruntukan spesifik tetapi kami sudah memohon bantuan JKM dua kali namun masih belum ada keputusan,” kata Rosmawati.

Tanggungjawab keluarga

Rosmawati berkata matlamat rumah perlindungan itu membantu remaja yang sesat jalan untuk kembali ke landasan dan mencuba sekali lagi meneruskan hidup.

Sejak kebelakangan ini, banyak remaja yang dirujuk sebagai pelatih di Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah kurang pegangan moral dan prinsip. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 September, 2017.

Namun beliau mengingatkan setiap keluarga yang menitipkan anak mereka di rumah perlindungan itu bahawa pusat itu hanya boleh membantu – tanggungjawab utama mendidik anak masih terletak pada ibu bapa.

“Di Selangor saja, ada ramai remaja bermasalah tetapi bukan semua (pelatih) hamil. Ada yang punyai masalah sosial.

“Kita hendak anak-anak berubah.”

Walaupun pelatih dikehendaki tinggal di rumah perlindungan itu, keluarga mereka digalakkan untuk datang berziarah dan bukannya hanya mencampakkan anak mereka ke situ.

“Ada yang mak ayah bercerai bukanlah mereka abaikan tetapi mereka ada kekangan masa. Ada juga duduk jauh dan tiada duit nak datang.

“Tetapi kami pastikan tiada seorang yang masukkan anak ke RS boleh lepas tangan anaknya,” katanya. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen