GERGASI internet AS Google, yang mengendalikan sistem operasi telefon bimbit paling berkuasa dunia, Android, akan memulakan proses memutuskan hubungan dengan gergasi China, Huawei, katanya pada Ahad selepas Washington mengisytiharkan syarikat itu sebagai risiko keselamatan negara.
Dalam perang perdagangan dengan Beijing, Presiden Donald Trump mengharamkan syarikat AS untuk menjalankan perdagangan telekomunikasi dengan syarikat asing yang dianggap mengancam keselamatan AS.
Langkah yang disasarkan kepada Huawei itu, gergasi telekomunikasi China menghendaki syarikat AS mendapat kelulusan Jabatan Perdagangan untuk menjalinkan hubungan dagang.
Pengharaman itu meliputi perkongsian teknologi.
“Kami sedang mematuhi arahan dan menyemak implikasinya,” kata jurucakap Google kepada AFP.
Langkah itu boleh memberi kesan mendadak kerana Google seperti syarikat teknologi lain perlu bekerjasama dengan pembuat telefon bimbit bagi memastikan sistem mereka sesuai dengan peralatan dikeluarkan.
Google akan menangguhkan sebarang aktiviti dagang dengan Huawei yang melibatkan pemindahan teknologi dan teknikal- bermaksud Huawei kini hanya boleh menggunakan versi Android sumber terbuka, kata sumber kepada AFP.
Huawei tidak lagi mempunyai akses kepada aplikasi dan perkhidmatan Google seperti Gmail.
Huawei tidak menjawab permintaan AFP untuk ulasan perkembangan terbaru itu.
Huawei pantas berkembang sebagai peneraju teknologi 5G tetapi bergantung kepada pembekal asing.
Ia membeli komponen bernilai AS$67 bilion setahun, termasuk AS$11 bilion daripada pembekal AS, menurut akhbar perniagaan The Nikkei.
Huawei jadi sasaran kempen besar-besaran dilancar Washington, yang cuba memujuk sekutunya supaya tidak membenarkan China memainkan peranan utama pembinaan rangkaian telekomunikasi masa depan, 5G.
Agensi kerajaan AS sudahpun dilarang daripada membeli peralatan dikeluarkan Huawei.
Ahad lalu, pengasas dan CEO Huawei Ren Zhengfei berkata: “Kami tidak buat perkara yang melanggar undang-undang” menambah yang langkah AS tidak banyak memberikan kesan. – AFP, 20 Mei, 2019.
Komen