Kami jadi ‘tikus makmal’, keluh peniaga Bazar Ramadan Jalan Raja


Nabihah Hamid

PENIAGA Bazar Ramadan Jalan Raja menyifatkan diri mereka sebagai “tikus makmal” kerana perpindahan lokasi bazar terkenal Kuala Lumpur itu dari Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India. 

Menurut mereka, hasil jualan jatuh lebih 50% di lokasi baharu itu berbanding di tempat lama.

“Pada awal pun kita memang tak setuju berpindah ke Jalan Raja. Setelah pemindahan dibuat, kami pun dah berniaga lebih daripada 10 hari, sebarang promosi tidak dibuat, jadi macam mana nak tarik pembeli. Kena lakukan sesuatu untuk bantu kami. Kami ni macam eksperimen.

“Kami tidak kisah meniaga kat sini, mana-mana pun Allah beri rezeki. Ada yang (labur) ratus ribu puluh ribu. Sebab kita meniaga sebulan dalam masa setahun. Kami kesalkan harap dapat promosi bantu kami,” kata Aziz Muhamad , 39, peniaga busana tradisional yang telah berniaga lebih daripada 10 tahun.

Senasib dengannya ialah Mohd Fikri Abd Razak, 31, peniaga baju melayu yang berpandangan ramai pengunjung keliru dengan lokasi bazar tersebut.

“Dulu di (Jalan TAR) lagi bagus sale. Cuma hari pertama sampai keempat memang tiada bisnes. Pertama masa mula-mula dulu tiada makanan, parkir. Orang tak faham Jalan Raja tak tahu kat mana, padahal di Dataran Merdeka sahaja. Kita adalah rasa macam bahan uji kaji,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Kami tak kisah berniaga di mana-mana, tetapi DBKL perlu bantu buat promosi kerana pindahkan lokasi, kata peniaga Jalan Raja Aziz Muhamad yang sudah 10 tahun berniaga di Lorong TAR sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Mei, 2019.

Terdapat 344 petak di Bazar Ramadan Jalan Raja. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah menutup sebahagian laluan Jalan Raja kepada kenderaan dan dijadikan laluan sehala secara berjadual bagi membolehkan ia dilaksanakan. 

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sebagai berkata yang “post moterm” Bazar Ramadan di Jalan Raja hanya akan dilakukan selepas Aidilifitri.

Berdasarkan tinjauan The Malaysian Insight, selain kekurangan pelanggan, suasana Bazar juga hambar dan hanya menjadi tempat tumpuan pelancong asing.

Bagaimanapun keadaan khemah bazar lebih selesa jika dibandingkan dengan lokasi terdahulu.

Tetapi, peniaga yang ditemui masih berharap mereka dapat kembali ke lokasi asal pada masa depan kerana ia memberikan keuntungan lebih lumayan

“Tempat ini ok lah, best. Pelanggan ramai juga, tapi sale kurang sikit. Ini tempat baru. Kenalah promosi lagi. Awal-awal kat Jalan Tar hari pertama dah boleh buat duit, kalau sekarang tak lah. Separuh (hasil jualan) hilang,” keluh Sharifah Mohd Nor, 52, yang sudah berniaga hampir 20 tahun.

“Jualan dari tahun lepas beza sangat. Sini orang nak cari parkir pun susah sebab itu orang sikit. Kalau dekat Jalan Tar itu alang-alang orang nak pergi pejabat orang boleh singgah beli,” kata peniaga kuih raya Mohamad Fazrul Nazli, 19.

Tempat okay tapi jualan kurang, kata Sharifah Mohd Nor, 52, yang sudah berniaga hampir 20 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Mei, 2019.

Sementara itu pengunjung setia, Jamaliah Abu Samah, 59, juga mahukan bazar bersejarah itu kembali dipindahkan ke lokasi lama.

“Makcik rasa baiklah dekat jalan lama. Itu lebih banyak pengunjungnya. Lagipun dah berpuluh tahun di situ. Saya suka dekat Jalan TAR senang orang nak turun,” katanya lagi. – 20 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen