PAKATAN pemerintah konsorvatif Australia dijangka mendapat majoriti dalam pilihan raya mengejutkan mengalahkan Parti Buruh, jangka stesen penyiaran ABC hari ini.
Pakatan Liberal-Nasional diterajui Perdana Menteri Scott Morrison akan memegang sekurang-kurangnya 77 kerusi daripada 151 kerusi Dewan Rendah, lebih satu daripada yang diperlukan untuk mentadbir sendiri, kata penganalisis ABC.
Tetapi, pakatan itu tidak akan mempunyai majoriti dalam Senat, bermakna ia perlu mendapat sokongan calon Bebas dan parti minoriti untuk meluluskan perundangan.
Beberapa pertandingan sengit di negara itu masih belum diumumkan secara rasmi susulan pengundian Sabtu lalu, menunggu keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Australia.
Suruhanjaya dijangka memuktamadkan keputusan minggu ini.
Antara tugas utama Morrison adalah membentuk Kabinet baharu selepas beberapa menterinya bersara dan tidak bertanding pilihan raya.
Morrison juga pernah berjanji merealisasikan ikrarnya memotong cukai sebaik sahaja Parlimen dibentuk.
Kemenangan luar jangka itu adalah kekalahan mengejutkan kepada Parti Buruh yang mendahului semua tinjauan awam yang dijalankan selama dua tahun sebelum pilihan raya Sabtu lalu. – AFP, 20 Mei, 2019.
Komen