SYARIKAT penyiaran berpangkalan di Qatar, Al Jazeera menggantung khidmat dua wartawannya semalam selepas mereka menerbitkan video mendakwa tragedi Holocaust diperbesarkan orang Yahudi.
Klip video itu diterbitkan cabang dalam talian Al Jazeera, AJ+ Arab, mendakwa “naratif” yang Nazi membunuh enam juta Yahudi “digunakan oleh pergerakan Zionis”.
Enam juta orang Yahudi dibunuh oleh Nazi ketika Perang Dunia Kedua.
Gambar penderitaan Yahudi Eropah yang hidup di bawah pentadbiran Nazi, serta mereka yang terbunuh disertakan dengan naratif bertanyakan “mengapa tumpuan hanya kepada mereka?”
Video turut berkata “bersama-sama mereka yang lain, Yahudi berdepan dasar sistematik pendakwaan”.
Tetapi, video itu turut mencadangkan kerana Yahudi mempunyai akses kepada “sumber kewangan (dan) institusi media”, ia mampu meletakkan “tumpuan khas” kepada penderitaan Yahudi.
“Kandungan video dan cerita tersebut serta merta dipadam oleh pengurusan kanan AJ+ daripada semua halaman AJ+ dan akaun media sosial, kerana ia bercanggah dengan standar kepengaragangan rangkaian,” kata Al Jazeera Media Network dalam satu kenyataan.
“Al Jazeera sepenuhnya menjauhkan diri daripada kandungan menyinggung terbabit dan menegaskan yang Al Jazeera tidak akan bertoleransi dengan bahan sebegitu,” tambah Yaser Bishr, pengarah eksekutif bahagian digital.
Bishr juga menggesa pelaksanaan “latihan wajib (mengelak) bias”, menurut kenyataan itu.
Klip dan catatan media sosial itu pertama kali diterbitkan pada 18 Mei “serta merta dipadamkan” oleh pengurusan, tambahnya. – AFP, 20 Mei, 2019.
Komen