Menjelang penggabungan dengan Digi, Celcom mungkin tawar VSS


Lee Chi Leong Ragananthini Vethasalam

Penggabungan Celcom dan Digi akan membentuk syarikat pembekal telelomunikasi terbesar Malaysia dengan keuntungan mencecah RM4 bilion, dan antara yang utama di Asia dengan pasaran 300 juta pelanggan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

CADANGAN penggabungan dengan Digi mungkin menyebabkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) ditawarkan untuk kakitangan Celcom.

Axiata Group Bhd yang memiliki Celcom dan syarikat induk Digi, Telenor Asia, dilaporkan sedang dalam perbincangan penggabungan.

Presiden dan CEO Kumpulan Axiata Jamaludin Ibrahim baru-baru ini dalam pertemuan town hall bersama kakitangan Celcom memberitahu yang VSS akan ditawarkan kepada sesiapa yang berminat.

Klip video sesi town hall yang dilihat The Malaysian Insight juga mendedahkan Skim Pemisahan Bersama (MSS) tidak akan ditawarkan.

“Ia akan jadi sukarela. Berita tentang MSS, tidak ada MSS…kami hanya akan buat sukarela. Kami beri tawaran, awak terima jika mahu, awak tak perlu terima jika tak nak,” kata Jamaludin dalam video itu.

“Tetapi, lebih baik kami latih semula awak untuk buat perkara (tugas) lain,” tambahnya.

Penggabungan yang disasarkan bakal disempurnakan pada suku ketiga 2019 itu akan membentuk salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar rantau ini, dengan jangkaan perolehan permulaan mencecah RM30 bilion menghasilkan untung bersih RM4 bilion.

Dalam aspek domestik, penggabungan antara Celcom dan Digi akan mewujudkan syarikat telekomunikasi terbesar negara, yang dijangka mengawal sehingga 35% pasaran telekomunikasi.

Menurut sumber, sesi town hall itu diadakan sehari selepas pengumuman penggabungan itu dibuat.

Sebelum sesi bersama kakitangan itu, taklimat kepada pengurusan tertinggi Celcom turut diadakan.

Celcom mempunyai hampir 3,000 kakitangan, sementara Digi menggaji antara 1,600 hingga 1,700 kakitangan, tambah sumber.

Disebabkan itu, wujud kebimbangan dalam kalangan kakitangan Celcom yang jawatan mereka akan terancam dengan penggabungan itu dan mereka akan diberhentikan, kata sumber lagi.

Ada sebilangan kakitangan yang bimbang mereka akan diberhentikan jika tidak mengambil VSS dan sekiranya Axiata tidak dapat memperbaharui peranan mereka dalam penggabungan itu.

“Sebaik sahaja mereka jadi (pekerja) berlebihan, akan ada cara untuk keluarkan (berhentikan) mereka.”

“Setakat ini mesej yang diberikan kepada pekerja adalah kerja seperti biasa dan buat yang terbaik untuk capai sasaran 2019.”

Kedua-dua syarikat akan meneruskan operasi masing-masing sehingga rundingan penggabungan dimuktamadkan.

Celcom dan Digi adalah dua daripada tiga pembekal utama telekomunikasi di Malaysia, selain Maxis.

Jika rundingan berjaya, Celcom akan menjadi syarikat di pasaran saham selepas dimasukkan di bawah Digi.Com yang sudah tersenarai di Bursa Malaysia.

Sementara itu, sumber juga menyebut yang komposisi lembaga pengarah dan lantikan eksekutif kanan dalam syarikat gabungan itu mungkin sudah ditentukan.

Bagaimanapun, Axiata sebelum ini dilaporkan lantikan itu akan dibuat secara rundingan bersama.

Telenor Asia akan memegang 56.5% kepentingan dalam syarikat gabungan itu, manakala Axiata akan memegang baki 43.5%. Komposisi pegangan itu ditentukan berdasarkan penilaian aset.

Sementara itu, Axiata juga dipercayai mahu menyenaraikan syarikat gabungan itu dalam Bursa Malaysia dan sebuah lagi pasaran saham utama luar negara dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selain operasi di Malaysia, penggabungan mega itu juga akan menyatukan perniagaan Axiata dan Telenor di seluruh Asia kecuali Bangladesh.

Telenor memiliki pembekal telekomunikasi utama Bangladesh, Grammenphone, manakala Axiata pula mengawal Robi yang merupakan pembekal telekomunikasi yang mempunyai jumlah pelanggan terbesar kedua di negara itu.

Sekiranya penggabungan itu jadi kenyataan, ia bakal menerobos pasaran 300 juta pelanggan di sembilan buah negara. Axiata kini beroperasi di enam daripada sembilan negara itu, manakala Telenor beroperasi di tiga buah negara lain.

Syarikat gabungan itu juga berpotensi meraih antara RM15 dan RM20 bilion menerusi gabungan aset, skala ekonomi dan skop pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain perniagaan telekomunikasi, penggabungan itu juga akan melibatkan perniagaan menara Telenor Asia dan Kumpulan Edotco milik Axiata.

Edotco boleh menyaksikan operasi menaranya bertambah dua kali ganda susulan penggabungan itu, melonjakkannya menuju sasaran menjadi pengendali kelima terbesar perniagaan menara di dunia menjelang 2021, berbanding kedudukan ke-13 sekarang. – 20 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen