Bas pelancong terkena letupan bom di Mesir


Insiden letupan bom yang mengenai bas pelancong berlaku berhampiran piramid di Giza, Mesir.– Gambar EPA, 20 Mei, 2019

LETUPAN bom mengenai bas yang membawa pelancong berhampiran piramid Giza di Mesir, menyebabkan beberapa pelancong termasuk dari Afrika Selatan cedera dalam insiden terbaharu yang menggemparkan industri pelancongan di negara itu. 

Bom yang diletakkan di tepi jalan meletup ketika bas berkenaan dalam perjalanan ke Giza, yang turut menyebabkan beberapa warga Mesir dalam kereta berhampiran cedera, kata pihak pasukan keselamatan dan perubatan. 

Sumber pasukan keselamatan dan perubatan di Mesir berkata, seramai 17 orang cedera dalam insiden itu, tanpa menyatakan kewarganegaraan mangsa. Tiada kematian dilaporkan. 

Sementara itu, Afrika Selatan dalam satu kenyataan berkata, “letupan bas” menyebabkan tiga daripada 28 warganya yang turut berada dalam kumpulan pelancong itu mengalami kecederaan. 

Mereka masih dirawat di hospital dan yang lainnya akan pulang pada Isnin, menurut kenyataan jabatan hubungan antarabangsa negara itu. 

“Bahan letupan itu meledak dan menyebabkan cermin bas yang membawa 25 penumpang dari Afrika Selatan dan sebuah kereta persendirian yang membawa empat warga Mesir pecah,” menurut sumber pasukan keselamatan. – AFP, 20 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen