PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran kepada Iran pada Ahad, mengatakan sekiranya negara republik itu menyerang kepentingan AS, ia akan dimusnahkan.
“Sekiranya Iran mahu berperang, ia secara rasminya akan menjadi pengakhiran buat Iran. Jangan sesekali mengancam Amerika Syarikat lagi,” kata Trump menerusi Twitter.
Ketegangan antara Washington dan Tehran memuncak apabila Amerika Syarikat mengerahkan kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengebom B-52 ke Teluk yang disifatkan Iran sebagai “ancaman”.
Pentadbiran Trump telah mengarahkan kakitangan diplomatik yang kurang penting untuk keluar dari Iraq, menyatakan terdapat ancaman daripada kumpulan bersenjata Iran dan menghantar kapal pengangkut pesawat dan pesawat pengebom B-52 di wilayah berkenaan.
Pada Ahad, roket Katyusha dilancarkan ke Zon Hijau Baghdad yang menempatkan pejabat kerajaan dan kedutaan termasuk pejabat misi AS. Namun masih tidak dapat dipastikan siapa dalang di sebalik serangan itu.
Menurut laporan media AS, penasihat keselamatan Trump, John Bolton mendesak tindakan ke atas Iran, namun pentadbiran lain membantah langkah itu.
Trump sendiri baru-baru ini menyatakan beliau perlu “menyabarkan” Bolton.
Menteri Luar Iran pada Ahad menurunkan prospek perang baru di rantau berkenaan, mengatakan Teheran menentangnya.
“Kami yakin ... tidak akan ada peperangan kerana kita tidak mahu berperang atau sesiapa pun mempunyai ilusi yang boleh dihadapi Iran di rantau ini,” kata Mohammad Javad Zarif kepada agensi berita IRNA pada akhir lawatan ke China.
Hubungan Iran-AS mula tegang sejak tahun lepas ketika Trump AS menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dan mengembalikan sekatan unilateral yang telah ditarik balik sebagai pertukaran untuk Tehran membatalkan program nuklearnya. – AFP, 20 Mei, 2019
Komen