SEMAKIN ramai pengguna memilih pembayaran elektronik atau e-dompet untuk membeli barangan kerana melihatnya sebagai kaedah pembayaran yang lebih selamat dan mudah.
Kalangan pengguna yang ditemui juga lebih cenderung menggunakan e-dompet untuk mengelak kejadian jenayah seperti kes ragut, kehilangan atau kehilangan dompet.
Mustaqim Mustapha, 24, kakitangan sebuah bank di Kuala Lumpur berkata, beliau minat menggunakan pelbagai aplikasi e-dompet dan tidak banyak membawa wang tunai.
“Saya rasa lebih selamat kerana pernah ada pengalaman pernah hilang dompet kena curi,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Seorang pekerja swasta, Aina Syakira Rosman, 23 turut gemar menggunakan e-dompet kerana memudahkan.
“Lebih senang, hanya sentuh saja. Jadi saya tak bawa tunai kerana saya pernah menjadi mangsa ragut,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadhan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur.
Aplikasi e-dompet seperti Touch N Go itu kini boleh digunakan di bazar ramadhan Raja Alang, KL yang menyediakan lebih 400 gerai makanan.
Projek rintis e-dompet itu pernah diperkenalkan kali pertama di bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya pada tahun lalu.

Penggunaannya sangat mudah kerana bayaran boleh dibuat hanya dengan membuat imbasan kod QR sewaktu urusniaga.
Bagi pelajar, Najwa Khairuddin, 24, beliau gemar menggunakan aplikasi berkenaan kerana promosi diskaun dan pulangan tunai yang ditawarkan.
“Sebab dia boleh beli macam-macam selain daripada Touch N Go. Ia lebih mudah dan kadang-kadang ada promosi. Harganya murah,” katanya.
Selain itu, kalangan peniaga yang ditemui juga mengakui penggunaan e-dompet memudahkan urus niaga kerana majoriti pelanggan mereka menggunakannya.
“Sangat memberangsangkan. Boleh kata hampir 60 peratus dibayar melalui e-dompet. Kelebihannya ia mudah cepat, kita tak payah bagi baki wang,” kata peniaga Roti Boom Mohd Agil Mohamad Faisal, 40 yang hampir 50 tahun meniaga.
Peniaga air mangga, Asmawiyah Mohamad Mahfod, 36 turut menggalakkan orang ramai menggunakannya.
“Macam di sini 70 peratus gunakan e-dompet sebab mudah senang. Selamat. Kita peniaga rasa seronok. Scan saja duit masuk.
“Macam saya, gerai kita sentiasa cadang dan galakkan penggunaannya,” katanya yang telah berniaga hampir tujuh tahun itu.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Syahrunizam Samsudin berkata penggunaan e-dompet kini semakin meluas daripada sektor perniagaan kecil dan besar.
Selain pengguna, para peniaga juga tertarik dengan maafaat yang diperolehnya, sama ada dari segi kemudahan dan pulangan tunai yang ditawarkan, katanya.
Antara cabaran dalam mempromosi penggunaan e-dompet pada masa ini adalah untuk meningkatkan tahap kepercayaan ke atas kaedah pembayaran itu, katanya kepada The Malaysian Insight.
Syarikat yang memiliki lebih 4 juta pengguna berdaftar itu juga bercadang untuk memperluaskan konsep ‘Kampungkashless’ ini.
“Ini tidak mustahil memandangkan sambutan yang kami terima daripada komuniti Kampung Baru sangat memberangsangkan.
Malah, inisiatif yang telah dilakukan di dalam menggalakkan pembayaran tanpa tunai di sini telah berjaya menarik perhatian orang ramai yang tinggal di luar kawasan untuk membeli,” katanya lagi.
Menurut firma penyelidikan pasaran berpangkalan di Kuala Lumpur, Oppotus pada akhir tahun lalu, Boost mencatatkan aplikasi paling popular diikuti dengan Touch N Go, BigPay, MaybankPay dan Samsung Pay.
Pembelian makanan menjadi pilihan utama pengguna selepas mencatatkan jumlah 71% diikuti dengan barang asas keperluan 57%. – 21 Mei, 2019.

Komen