Penunjuk perasaan Sudan desak orang awam ketuai pentadbiran baharu


Presiden Sudan Omar al-Bashir mengisytiharkan darurat selama setahun di seluruh negara dan membubarkan kerajaan semua peringkat ketika bantahan memuncak mendesaknya berundur. – Gambar AFP, 19 Mei, 2019.

PARA pemimpin protes di Sudan mengatakan mereka akan mendesak orang awam untuk mengetuai badan pentadbiran baharu yang dirancang dalam rundingan dengan pihak tentera ketika puak Islamis membantah syariah dikeluarkan daripada pelan politik baharu negara itu.

Perikatan Kebebasan dan Perubahan menentukan bahawa badan pemerintahan baru negara itu akan “diketuai oleh orang awam sebagai pengerusi di samping perwakilan terhad daripada kalangan tentera”, katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan penunjuk perasaan itu berkata rundingan akan disambung semula dengan majlis tentera - yang memerintah Sudan sejak presiden Omar al-Bashir digulingkan pada 11 April lalu - pada jam 9 malam waktu tempatan pada hari Ahad.

Perbincangan mengenai pemindahan kuasa oleh jeneral beberapa kali ditangguhkan, mengakibatkan tekanan antarabangsa untuk ia kembali diselesaikan selepas jeneral-jeneral tentera menangguhkannya awal minggu ini.

Jeneral-jeneral tentera di negara itu menegaskan bahawa badan pentadbir baharu itu akan diketuai tentera namun pemimpin-pemimpin protes menuntut sebahagian besar pentadbiran itu dikendalikan badan awam.

Majlis tentera diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dan para jeneral sebelum ini mengatakan bahawa beliau akan memimpin badan pentabiran negara yang baharu.

Sebelum perbincangan ditangguhkan, kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa isu utama, termasuk tempoh peralihan selama tiga tahun dan pembinaan semula institusi parlimen dengan 300 keanggotaan, dengan dua pertiga penggubal undang-undang terdiri daripada kumpulan penunjuk perasaan. – AFP, 19 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen