Kempen hak Sarawak hanya modal kempen pilihan raya negeri?


Salhan K. Ahmad

Sarawak kini sedang menuntut kembali hak mereka seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang selama ini tergadai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

SEWAKTU Pakatan Harapan (PH) menyambut ulang tahun kemenangannya 9 Mei lalu, kedai yang diwarisi Ho Chi Hin di tebing Sungai Sarawak sudah berusia lebih 170 tahun.

Datuknya yang membuka kedai itu pada 1847 menyaksikan pentadbiran Rajah Putih diambil alih British dan bapanya menyaksikan pembentukan Malaysia tahun 1963.

Ho, 65, yang mewarisi perusahaan membuat dan membaiki peralatan daripada logam itu pula menyaksikan kesan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu.

Ketika ditanya, Ho yang ditemui di kedainya di Bishop Street, Kuching mengaku tidak mahir menilai pencapaian PH tapi berharap kerajaan baharu berunding lebih baik dengan GPS Sarawak.

“Sekarang barulah kita betul-betul rasa macam adik-abang. Bila sudah jadi adik-abang, sepatutnya lebih senang runding.

“Kalau dulu, adik minta seringgit tapi abang kasi 10 sen. Sekarang sepatutnya boleh runding lagi. Jangan macam ini,” katanya sambil melakonkan mimik wajah bengis dan gaya berpeluk tubuh.

Beliau memberikan contoh permintaan 10 sen itu bagi menggariskan tuntutan hasil lebih tinggi yang sepatutnya diraih Sarawak mengikut semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perbahasan ke atas tuntutan itu menjadi isu hangat di DUN Sarawak minggu lalu dan meniti di bibir warganya.

Dua usul di DUN Sarawak itu membahaskan pindaan ke atas Perkara 1(2) dalam Perlembagaa Persekutuan – yang gagal dipinda di Parlimen oleh PH pada April.

Ho Chi Hin di kedainya di tebing Sungai Sarawak, beliau mewarisi kedai logam itu yang menyaksikan pelbagai perubahan pentadbiran Sarawak sejak zaman pentadbiran Rajah Putih. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Umpan pancing undi

Namun tidak kurang juga yang melihat perdebatan berkenaan sebagai umpan bagi memancing undi memandangkan pilihan raya negeri akan berlangsung dua tahun lagi.

Ia dilihat demikian kerana parti kerajaan, GPS dan pembangkang, PH Sarawak, masing-masing cuba dilihat lebih ke hadapan dalam memperjuangkan hak terbabit.

Dua usul di DUN Sarawak itu membahaskan pindaan ke atas Perkara 1(2) dalam Perlembagaa Persekutuan – yang gagal dipinda di Parlimen oleh PH pada April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Menurut GPS, hak Sarawak mengikut perlembagaan akan terhapus sama sekali jika PH Sarawak mengambil alih pentabiran dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Whip GPS Fadillah Yusof memberitahu satu seminar mengenai perjanjian MA63 pada 5 Mei lalu, Sarawak akan kehilangan segala-galanya jika parti itu tewas.

“Jika PH menguasai DUN Sarawak, semuanya akan hilang. Kita tidak akan dapat menentukan siapa boleh dan tidak boleh lepasi pemeriksaan imigresen kita,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Ketua Whip GPS Fadillah Yusof (tengah) berkata, Sarawak akan hilang semua hak perjanjian MA63 jika Gabungan Bersatu Sarawak tewas pada pilihan raya negeri akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Malah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 juga akan terhapus, dakwanya dalam seminar di Demak itu.

GPS juga mengungkit tindakan PH menyokong usul parti kerajaan agar hak Sarawak dipenuhi berdasarkan MA63 untuk menunjukkan pembangkang bersikap hipokrit dalam perjuangan tersebut.

“Agaknya mereka takut dituduh sebagai pengkhianat oleh rakyat Sarawak,” kata Adun Jemoreng Juanda Jaya dalam persidangan DUN pada 6 Mei.

Namun bagi DAP, keputusan untuk kesemua tujuh orang wakil rakyatnya menyokong usul GPS itu bukanlah tindakan hipokrit kerana ia sokongan bagi tujuan yang baik.

“Ada perkara yang kita tidak setuju dalam pindaan itu tetapi kita masih boleh bahaskan apabila ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua,” kata Adun Tanjung Batu Chiew Chiu Sing ketika ditemui.

Prestasi buruk DAP

Sikap DAP dalam isu hak Sarawak menjadi perhatian kerana ia dikaitkan dengan prestasi buruk parti tersebut dalam pilihan raya negeri 2016 – hingga tewas lima daripada 12 kerusinya.

Dalam pilihan raya negeri itu, GPS yang masih dalam gabungan BN bawah pimpinan ketua menteri popular Adenan Satem ketika itu, menguasai 72 daripada 82 kerusi.

Pemerhati melihat, DAP pada waktu itu banyak membangkitkan mengenai dakwaan skandal kerajaan BN pimpinan Najib Razak sedangkan parti kerajaan berkempen untuk hak Sarawak.

Menjawab serangan bahawa PH akan menggadai hak Sarawak itu, seorang lagi wakil rakyat DAP, David Wong Kee Woan berkata ia hanyalah tuduhan dari parti yang bankrap idea.

“(GPS) inilah parti yang sebenarnya menggadaikan hak kita,” katanya yang menyifatkan serangan GPS sebagai tuduhan tidak berasas dan usaha menakut-nakutkan pengundi.

Sikap DAP dalam isu hak Sarawak menjadi perhatian kerana ia dikaitkan dengan prestasi buruk parti tersebut dalam pilihan raya negeri 2016 – hingga tewas lima daripada 12 kerusinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Bagi rakyat kebanyakan, perdebatan untuk mendapatkan hak Sarawak itu bagaimanapun tidak membantu mereka dalam kehidupan seharian.

“MA63 hanyalah satu isu politik. Ia tidak membantu rakyat di peringkat paling bawah. Perkara utama adalah masalah infrastruktur,” kata Oliver, 39, seorang pengusaha hotel bajet.

Beliau percaya warga Sarawak akan lebih beruntung jika rakyatnya dapat menikmati kemudahan asas lebih baik, dan bukannya melalui reformasi undang-undang seperti MA63.

“Pindaan undang-undang ini tidak akan berlaku dengan cepat. Ia akan memakan masa dan berlarutan lama.

“Tapi kawasan yang 40 kilometer dari pusat bandar pun tiada air bersih, sekolah pun masih dinding papan,” katanya lagi ketika ditemui di hotelnya berhampiran kawasan tarikan Kuching Riverside.

Sentimen serupa dinyatakan warga di kawasan hulu Sarawak yang melihat perjuangan bagi hak negeri itu tidak menjamin hak mereka daripada ditindas di bumi sendiri.

Musi Jeluman, 73, seorang pengusaha dan penjual kraf di Mulu berkata beliau melihat sendiri kumpulan masyarakat Orang Ulu kehilangan tanah akibat helah pemodal tempatan.

“Contohnya tanah milik satu komuniti rumah panjang di Saratok. Mula-mula tanah mereka disewakan. Lama-kelamaan diambil habis. Kemudian tinggal tiang sahaja,” katanya.

Jelasnya, ia berlaku kerana golongan pemodal tersebut mengambil kesempatan ke atas penduduk yang kurang pendidikan dan tidak arif dengan undang-undang.

“Tapi nasib baiklah kerajaan ambil semula tanah. Komuniti itupun hidup semula,” katanya.

Musi Jeluman, 73, seorang pengusaha dan penjual kraf di Mulu berkata beliau melihat sendiri kumpulan masyarakat Orang Ulu kehilangan tanah akibat helah pemodal tempatan. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Hak sama seperti bumi semenanjung

Isu pokok dalam masalah tersebut adalah hak pemilikan tanah adat bumiputera (NCR), yang pada masa ini masih tidak dipegang secara kekal oleh warga di situ.

Oleh itu itu, kerajaan negeri perlu menyelesaikan segera tuntutan tanah NCR dan mengeluarkan hak milik kekal kepada warganya, kata Glenn Baya, seorang pengusaha rumah inap di Mulu.

“Semua bumiputera di Sarawak perlu diberi keistimewaan sama seperti orang Melayu di Malaysia Barat,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight.

Penduduk Sarawak hanya mahukan hak mereka selaku rakan dalam Malaysia dihormati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2019.

Hak itu juga perlu mencakupi aspek cukai agar rakyat negeri itu, terutama di pedalaman dapat mengurangkan kos sara hidup, katanya.

MA63 itu antara lain memberi kuasa kepada Sarawak menguatkuasa undang-undang imigresen sendiri seperti menyekat individu yang tidak disenanginya daripada masuk ke negeri itu.

Perdebatan juga timbul menggenai kuasa Sarawak ke atas hasil bumi serta cukai.

Resolusi 30 April oleh DUN Sarawak dibincangkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Jumaat.

Ia merupakan mesyuarat pertama yang diadakan selepas Putrajaya gagal menjalankan pindaan ke atas Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan pada 11 April.

Penggal DUN Sarawak ke-11 dijangka berakhir pada Jun 2021. – 20 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen