Pelari pecut India dedah dirinya lesbian


Chand, yang dilahirkan dalam sebuah kampung miskin di Odisha, terpaksa menjalani ujian jantina yang memalukan katika masih remaja. – Gambar AFP, 19 Mei, 2019.

PELARI pecut India Dutee Chand mendedahkan hari ini bahawa dirinya adalah seorang lesbian.

Ia menjadikan atlet itu sebagai orang pertama dari negara yang masih berbudaya konservatif itu untuk berbuat demikian.

Selepas pengakuan tersebut, beliau turut menambah bahawa dia takut akan diseksa keluarganya selepas pengakuannya didedahkan.

Chand, yang kini bergelut di tengah-tengah perdebatan antarabangsa mengenai gender, memberitahu AFP bahawa beliau kini menjalin hubungan dengan seorang wanita berusia 19 tahun dari kampungnya sejak empat tahun dahulu.

“Saya menjalin hubungan sama jantina, dan saya tak fikir ada apa-apa yang salah mengenainya,” kata atlet berusia 23 tahun tersebut.

“Buat masa ini tumpuan saya adalah karier saya dan akan bersaing di kejohanan dunia dan Sukan Olimpik akan datang.

“Pada masa akan datang selepas tamat kerjaya sukan, jika hati saya mengatakan bahawa saya harus tinggal bersamanya maka saya akan berbuat demikian.”

Atlet itu berkata, beliau bimbang dengan gangguan sosial, termasuk daripada kalangan keluarganya, namun menambah bahawa penghakiman Mahkamah Agung baru-baru ini yang mengeluarkan perhubungan sama jantina daripada kesalahan jenayah telah memberikan keberanian kepadanya untuk bersuara.

“Baru-baru ini kakak saya berkata sesuatu kepada ibu saya yang membuat dia membantah hubungan ini dan dia memarahi saya dan mengancam untuk mengaibkan saya di khalayak ramai,” katanya.

Chand, yang dilahirkan dalam sebuah kampung miskin di Odisha, terpaksa menjalani ujian jantina yang memalukan katika masih remaja.

Selepas didiagnosis pada tahun 2014 dengan hiperandrogenisme, iaitu keadaan tubuhnya yang menghasilkan hormon seks lelaki yang tinggi, Chand telah dihalang daripada bersaing di bawah peraturan Persatuan Persekutuan Sukan. – AFP, 19 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen