C4 mahu bentang korupsi projek Taman Rimba Kiara kepada Khalid


Ragananthini Vethasalam

Cynthia harap menteri Wilayah Persekutuan dapat mendengar penemuan-penemuan yang diperoleh pihak C4 berkaitan konflik kepentingan dan rasuah yang wujud dalam projek Taman Rimba Kiara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2019.

PUSAT Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berharap dapat membentangkan penemuannya berhubung dakwaan rasuah dalam projek pembangunan semula Taman Rimba Kiara kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, kata pengarah eksekutifnya, Cynthia Gabriel.

Beliau berkata penemuan C4 tersebut telah dibentangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang semalam mengatakan bahawa siasatannya terhadap kondominium mewah dan projek perumahan yang mampu dimiliki telah dibuka semula dan kini berada di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada pendakwa raya.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM (unit operasi) Azam Baki memberitahu The Malaysian Insight bahawa siasatannya telah selesai, namun ia dibuka semula selepas wujud beberapa isu dibangkitkan, namun beliau tidak menyebut sama ada ia dibangkitkan oleh C4.

“Saya harap dapat lihat bagaimana ia akan berjalan,” kata Cynthia kepada The Malaysian Insight apabila ditanya sama ada beliau akan membentangkan kerja C4 kepada Khalid.

Beliau dan peguam Ambiga Sreenevasan dijangka akan bertemu Khalid bagi kes Taman Rimba Kiara esok.

Kempen menentang pembangunan semula Taman Rimba Kiara, yang akan menyaksikan beberapa blok kondominium mewah akan dibina di kawasan taman tersebut telah diterajui sekumpulan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di bawah gerakan Save Rimba Kiara sejak 2016 dan ia kemudian dipanjangkan selepas pilihan raya umum tahun lalu, oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

C4 menjadi lebih terlibat dalam kempen menyelamatkan Taman Rimba Kiara selepas bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor ditangkap dalam siasatan SPRM sebelum dikenakan pertuduhan rasuah pada November tahun lalu.

Beliau didakwa menerima RM3 juta bagi membantu beberapa pemaju dengan projek mereka. Namun ia adalah kes yang tidak melibatkan Taman Rimba Kiara.

“Apabila Ku Nan (Tengku Adnan) didakwa ... maka kami lebih terlibat,” kata Cynthia kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai penglibatan NGO itu baru-baru ini dalam kenyataan awam dan beberapa pertemuan di dewan masyarakat baru-baru ini mengenai projek Taman Rimba Kiara.

Kerja-kerja yang dilakukan C4 tersebut dibawa ke mata umum oleh Yeoh dalam sesi taklimat mengenai perkara itu di TTDI semalam.

Terdahulu, pada 28 Februari, kumpulan itu mengeluarkan satu kenyataan dan pemetaan infografik antara syarikat-syarikat yang berkaitan dengan pemaju yang dikaitkan dengan Tengku Adnan dan konflik kepentingan dalam kes tersebut.Cynthia berkata C4 terkejut melihat penglibatan syarikat tersebut dan kaitannya dengan Tengku Adnan yang merupakan menteri ketika itu, seterusnya mendapat manfaat daripada projek tersebut.

“Kepentingan kami adalah mengenai skandal rasuah .. dan reformasi anti rasuah .. kami mengikuti perkembangan (Taman Rimba Kiara) secara keseluruhannya.

“Kami (juga) meneliti jejak syarikat (yang) terlibat .. dan terkejut bila tahu bagaimana Ku Nan secara langsung memperolehi manfaat daripada projek itu. Kami adalah penyokong tadbir urus yang bersih, telus dan terbuka. “

Tanah Taman Rimba Kiara dimiliki oleh Yayasan Wilayah Perseketuan di bawah kementerian, ia merupakan rakan usahasama bagi pembangunan semula dengan syarikat swasta Memang Perkasa Sdn Bhd.

Tengku Adnan, dengan jawatan menteri yang dipegang beliau, adalah pengerusi yayasan, sama seperti Khalid sekarang.

Menurut perjanjian usaha sama pada tahun 2014, Memang Perkasa akan menanggung kos pembangunan manakala yayasan itu akan menerima jumlah tetap sebanyak RM160 juta.

C4 berkata pihaknya mendapati bahawa Tengku Adnan mempunyai rakan perniagaan bernama Rosmanira Junoh, yang merupakan penghubung antara bekas menteri itu dan syarikat Memang Perkasa.

Rosmanira adalah pengarah Memang Perkasa antara 2014 dan 2016.

C4 juga berkata Rosmanira pernah berkhidmat sebagai pengarah dan pemegang saham empat syarikat lain yang dikaitkan dengan Malton Bhd, yang mengawal Memang Perkasa.

Cynthia turut menambah bahawa C4 akan menjelaskan “dua hingga tiga” perkara berkaitan perjanjian tanah yang menjadi persoalan tidak lama lagi.

Sekarang terdapat dua cadangan projek di Taman Rimba Kiara yang sedang diproses.

Versi berskala kecil yang disokong Khalid akan mengurangkan bilangan blok kondominium dari lapan menjadi empat blok, dan pengurangan jumlah tingkat daripada 50 tingkat hingga 45.

Pelan yang disemak itu juga akan menyaksikan projek itu hanya mengambil 3.2 hektar tanah bukannya 4.9 hektar yang disebut dalam pelan asal, sekaligus menyaksikan kekurangan kawasan Taman Rimba Kiara itu terjejas.

Yeoh dan kumpulan Save Rimba Kiara, bagaimanapun, menentang semakan semula peojek tersebut secara keselurhannya berdasarkan unsur-unsur rasuah dan konflik kepentingan yang didedahkan di media sebelum ini.

Mereka mahu blok-blok kondominium itu dihapuskan dan hanya perumahan mampu milik baharu yang dijanjikan kepada bekas pekerja ladang yang tinggal di rumah panjang Bukit Kiara sahaja dibina, dan ia harus dibina di kawasan tapak rumah panjang tanpa menyentuh taman tersebut.

Penduduk TTDI dan Yeoh juga mencadangkan rumah-rumah bandar dibina di atas tapak dan bukannya pembinaan kompleks besar perumahan.

Khalid telah menyerahkan keputusan mengenai projek tersebut kepada kabinet untuk memutuskan antara dua cadangan daripada pihaknya, tanpa mempedulikan gesaan moratorium terhadap projek tersebut sehingga ia jelas tidak melibatkan unsur-unsur rasuah. 

Yeoh turut menggesa peguam negara untuk meneliti aspek-aspek perundangan berkenaan projek tersebut sama ada ia boleh diberikan pampasan semula jika ia dibatalkan. – 19 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen