PENEROKA tidak akan hilang tanah mereka seperti mana dicadangkan kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM), kata Felda hari ini.
Kajian UiTM itu juga tidak tepat kerana ia tidak menggambarkan situasi sebenar peneroka, malah pengkaji juga gagal menafsir Akta Pengambilan Tanah 1960 dan akta berkaitan secara menyeluruh, tambah agensi pembangunan tanah persekutuan itu lagi.
“Selain itu, peneroka Felda dan kerajaan negeri mempunyai hubungan kontraktual yang disahkan di Mahkamah Rayuan pada 2014. Mahkamah mengatakan peneroka Kemahang 1 dan 2 di Gua Musang mempunyai hubungan kontraktual.”
Jelas Felda lagi, agensi itu bersama-sama dengan peneroka dan Jabatan Tanah juga sedang bekerjasama menangani isu pewarisan tanah kepada generasi baharu Felda tanpa perlu dipecah milik.
Felda mengeluarkan kenyataan itu hari ini susulan laporan Berita Harian yang berdasarkan kajian UiTM mendakwa peneroka berisiko kehilangan tanah kerana peruntukan undang-undang sedia ada tidak membenarkan mereka mewariskan tanah kepada anak-anak mereka.
Kajian yang diketuai Prof Dr Rohayu Abdul Majid itu berkata hanya 40% daripada 112,635 peneroka adalah generasi pertama.
Ia turut mendakwa yang Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) 1967 (GSA) tidak membenarkan pemindahan tanah dilakukan tanpa kebenaran Felda dan sehingga sekarang tidak ada kebenaran yang diberikan.
Felda berkata pengkaji UiTM wajar mendapatkan penjelasan agensi itu untuk memahami isu sebenar sebelum menyiapkan laporan mereka.
“Kajian mereka hanya melibatkan 130 responden daripada Felda Bukit Tangga, Kedah sedangkan ada 112,636 peneroka di seluruh Malaysia.”
Kepincangan kajian itu boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peneroka dan waris mereka, kata Felda lagi.
Kenyataan agensi itu turut menyebut yang kajian gagal meletakkan konteks GSA yang sebenarnya, iaitu bertujuan membangunkan kumpulan peneroka warganegara Malaysia dengan memberikan mereka 10-15 ekar tanah pertanian. Ia turut memberikan tanah seluas 0.25 ekar kepada peneroka untuk membina rumah mereka.
“Bagi tujuan keseragaman dan kemudahan, semua rumah ini dikelompokkan supaya kerajaan boleh membina jalan raya, sekolah, klinik dan premis perniagaan di sekelilingnya,” kata Felda lagi.
Bagaimanapun, Felda menjelaskan yang undang-undang sedia ada tidak membenarkan tanah diperuntukkan dipecahkan kepada lebih daripada dua pemilik, kerana ia tidak akan memberikan manfaat kepada projek tanah berkelompok persekutuan itu. – 19 Mei, 2019.
Komen