Bintang Jerman jadi duta filem Hollywood di Cannes


Pengarah Terrence Malick yang terkenal jarang menerima wawancara atau menunjukkan wajahnya di atas permaidani merah, dijangka tidak akan hadir di acara Cannes, dan Diehl akan menggantikan beliau sekaligus menjadi duta untuk filem terbaru Malick tersebut. – Gambar AFP, 19 Mei, 2019.

BELIAU memainkan watak pembunuh SS untuk pengarah Quentin Tarantino dan berkongsi tempat tidur dengan Angelina Jolie dalam filem thriller pengintipan.

Walaupun anda mungkin tidak tahu namanya, anda akan mendengar lebih banyak lagi mengenai August Diehl.

Dalam watak kali pertama yang dibintanginya bagi filem yang akan dipertontonkan di Cannes, pelakon Jerman itu membawa watak seorang pejuang anti-Nazi, Franz Jaegerstaetter dalam “A Hidden Life”, sebuah filem adaptasi kisah benar Perang Dunia Kedua yang dibikin lagenda Hollywood, Terrence Malick.

Malick yang terkenal jarang menerima wawancara atau menunjukkan wajahnya di atas permaidani merah, dijangka tidak akan hadir di acara Cannes, dan Diehl akan menggantikan beliau sekaligus menjadi duta untuk filem terbaru Malick tersebut.

Filem itu dikatakan akan menjadi satu naratif semula daripada Malick, pengarah “Badlands” dan “The Thin Red Line”, selepas beberapa filem bernilai falsafah oleh beliau termasuk filem yang memenangi anugerah Cannes 2011 “The Tree of Life” yang dibintangi oleh Brad Pitt.

Dalam filem itu, Diehl memegang watak seorang warga Austria, Jaegerstaetter, yang enggan berkhidmat dengan tentera Hitler berdasarkan alasan agama dan dia dijatuhkan hukuman mati pada usia 36 tahun.

Bagi kebanyakan pelakon Jerman dengan impian menyinar di Hollywood, Perang Dunia Kedua adalah subjek yang akan dijauhi mereka.

Diehl, 43, menjadi sebutan antarabangsa apabila mengambil watak kecil dalam filem ikonik “Inglourious Basterds” karya Tarantino, di samping pelakon besar Austria, Christoph Waltz, yang memenangi Oscar bagi watak Kolonel SS yang jahat dan terkenal, Hans Landa dalam filem itu.

Dalam filem itu, Diehl memainkan watak rakat sejawat Landa Dieter Hellstrom, seorang pegawai Gestapo yang ditempatkan di Perancis. Dalam adegan penting di sebuah pub, Hellstrom menyerang watak Michael Fassbender yang dikesan beliau sebagai pengintip British kerana cara dia memesan minuman kedengaran janggal. – AFP, 19 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen