PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada hari Sabtu mengisytiharkan dirinya sebagai seorang yang menolak hak menggugurkan kandungan, namun mengecualikan hak menggugurkan bayi hasil jenayah rogol dan sumbang mahram.
Kenyataan itu tampil setelah beberapa negeri di Amerika Syarikat meluluskan beberapa larangan baru dalam proses menggugurkan kandungan.
Presiden AS itu menyatakan pendirian beliau mengenai pengguguran, selepas ia menjadi isu utama bagi pilihan raya yang akan diadakan tahun depan. Ia diungkap selepas beberapa hari gabenor Alabama menandatangani undang-undang ketat negara itu - yang membuat larangan menggugurkan bayi bagi hampir keseluruhan kes walaupun dalam kes rogol dan sumbang mahram.
“Seperti yang ramai tahu, dan bagi mereka yang ingin tahu, saya amat menentang pengguguran kandungan, namun dengan tiga pengecualian - (anak hasil) rogol, sumbang mahram dan melindungi nyawa ibu - ia adalah pendirian yang sama dipegang oleh Ronald Reagan,” kata Trump dalam akaun Twitter beliau.
Trump, jutawan yang mengalami dua kali penceraian, memenangi undi kumpulan Kristian Evangelical semasa kempen 2016 dengan berjanji untuk melantik hakim-hakim anti-pengguguran bayi di Mahkamah Agung.
Beliau melantik dua hakim konservatif ke mahkamah tertinggi di negara itu - Neil Gorsuch dan Brett Kavanaugh - dan mengubah keseimbangan sembilan jawatan bagi jabatan itu.
Kumpulan Evangelical Amerika kini menaruh harapan tinggi bahawa mahkamah akan membatalkan undang-undang bersejarah yang digubal pada tahun 1973 di Amerika Syarikat yang membenarkan pengguguran kandungan.
Selain Alabama, Missouri juga pada minggu ini melarang pengguguran kandungan yang menjangkau tempoh lapan minggu kehamilan.
Georgia, Ohio, Mississippi, Kentucky, Iowa dan Dakota Utara telah menggubal undang-undang yang mengharamkan pengguguran apabila denyutan jantung janin dikesan. – AFP, 19 Mei, 2019.
Komen