Apa yang kita tahu tentang minggu ke-4 perbicaraan kes Najib


Bede Hong

MINGGU lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa kalangan pegawai Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tidak menerima arahan dari Najib Razak untuk meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, atau perlu meluluskan pinjaman itu tanpa sebarang pertikaian.

Sebaliknya, pegawai KWAP mempunyai kuasa untuk menolak permohonan itu jika ia melanggar dasar dan prosedur pelaburan KWAP, atau setidak-tidaknya menyarankan kepada pegawai atasan mereka bahawa pinjaman itu tidak wajar diluluskan.

Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad memberitahu mahkamah bahawa panel pelaburan KWAP tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri atau anggota Kabinet untuk meluluskan sebarang pinjaman.

Perbicaraan Najib mendedahkan pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepada SRC International dan daripada jumlah tersebut, RM42 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada 2014 dan 2015, dan ia antara tujuh pendakwaan jenayah yang dihadapinya ketika ini.

Mengenai penglibatan awal Najib dalam kelulusan pinjaman RM2 bilion yang pertama, Azlida sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa mesyuarat panel pelaburan telah dimaklumkan oleh CEO KWAP Azian Mohd Noor pada 19 Julai 2011 bahawa Najib mahu mempercepat proses kelulusan.

Bagaimanapun minggu lalu, Azlida memberitahu mahkamah bahawa tiada rekod menunjukkan pinjaman itu diluluskan atas arahan Najib yang juga menteri kewangan pada ketika itu.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Najib, Azlida mengakui bahawa arahan sedemikian pastinya akan direkodkan dalam minit mesyuarat.

Beliau juga merujuk kepada sepucuk surat permohonan SRC International bagi pinjaman RM3.95 bilion yang kemudiannya dikurangkan kepada RM2 bilion.

Najib menandatangani surat itu dan menulis ayat ‘bersetuju dengan usul ini’. Azlida memberitahu mahkamah bahawa surat itu bukan satu arahan.

Azlida juga bersetuju dengan pandangan peguam bela bahawa panel pelaburan meluluskan pinjaman RM2 bilion pertama selepas surat jaminan kerajaan dikeluarkan pada 26 Ogos 2011. Surat itu ditandatangani oleh bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.

Azlida juga memberi keterangan bahawa surat jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua bernilai RM2 bilion pada 2012, ditandatangani oleh Najib tidak mengarahkan KWAP untuk meluluskan pinjaman itu kepada SRC International.

Apabila ditanya, Azlida bersetuju bahawa panel pelaburan tidak boleh dipaksa untuk meluluskan kedua-dua pinjaman bernilai RM2 bilion itu.

Beliau juga bersetuju bahawa pegawai akan menghentikan pelaburan yang dipertikai atau membangkitkan perkara itu dengan pihak atasan jika mereka tidak percaya usaha itu akan menguntungkan. – 19 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen