ARTIKEL ini bunyinya keras. Tapi apa lagi yang mampu dikatakan apabila penunggang agama menjadi penyangak selepas menjaja identiti diri dengan menggunakan nama Allah dan Islam.
Meletupnya kes penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji dan Yapeim adalah pembuka tabu untuk kita melihat tahap bahaya kewujudan penunggang agama. Malah, rantaiannya harus dijejak dan digelidah.
Kartel penunggang agama ini luas. Malah, lingkarannya mungkin tidak saling berhubungan, tapi aktiviti menyangaknya sama sahaja.
Malah, kita perlu menerima hakikat: penunggang agama sentiasa berwajah murni. Muncul dengan ikrar, kononnya bekerja demi Islam dan Allah. Kawanan ini kini bersepah di negara kita.
Malah, barangkali juga, penyangak agama jenis ini lebih banyak daripada penyangak jalanan.
Cuma, selama ini dan pada masa akan datang, penyamaran topeng agama yang dipakai golongan ini menjadikan kita sukar mengesan: adanya syaitan berjubah!
Korupsi di kalangan pentadbir agama sebenarnya sudah lama wujud. Namun, ia realiti tabu. Yakni, kebenaran yang sukar diterima dan diakui hakikatnya.
Ia diburukkan lagi oleh mitos yang dipaku dalam kepala umat Islam: mengkritik orang agama adalah satu dosa.
Hakikatnya, sejak lama dulu budaya gelap memanipulasi lafaz kerana Allah dan Islam serta ketrampilan jubah dan serban telah dipergunakan untuk tujuan menyangak.
Harapnya, jangan terhenti setakat menyiasat dan mendedahkan skandal Tabung Haji dan Yapeim.
Mustahil penunggang agama hanya berada di dua agensi itu. Puluhan lagi agensi agama perlu dipantau dan disiasat.
Pihak berkuasa perlu ada keyakinan, penyamun masih banyak dan bijak menyangak dengan bersembunyi di sebalik nama Allah dan Islam. Skandal Tabung Haji dan Yapeim sebenarnya bersepah dan berselarak.
Kita mungkin telah menemukan jenayah dan ketirisan amanah dalam pengurusan pelbagai kementerian.
Malah, kita sangat terkejut dengan skandal Felda, FGV, DBKL, PDRM dan ATM yang kini gigih didedahkan. Pelakunya kebetulan pula majoriti Melayu dan Islam.
Kesemua kes yang dipunggah berlaku di lubuk duit. Sejak lama, lubuk duit akan jadi tumpuan penyamun. Tapi itu kes yang korporat sekular. Bukan berimej penunggang agama.
Harapnya, dalam kes berkaitan agensi Islam, tumpuan siasatan jangan sekadar di lubuk yang hanya diduga bermasalah. Kes Tabung Haji dan Yapeim membuktikan, potensi lebih banyak lagi agensi berkaitan agama perlu terus digeledah.
Dua lubuk yang ditemukan ketirisan ini, harus menjadi bukti, penunggang agama wujud dan berleluasa. Harus dijejak dan ditegah agar kerosakan jenayah menyonglap harta dalam instituisi Islam dapat dicegah segera.
Justeru, pihak berkuasa harus mengetuk tiap pintu dan menggeledah hingga ke dalamnya. Tidak mustahil penunggang agama sedang menyangak di agensi Islam yang lain.
Kita harus segera menghapuskan mitos: Orang yang kerap menzahir lisannya dengan nama Allah dan agama itu, jujur dan lurus hatinya. Si licik akan berbuat apa saja untuk mengisi tenggoroknya.
Apa saja kalam verbal boleh didramakan. Versi P Ramlee: Ali Baba yang sedang mencuri pun, menyebut “mati dalam iman”.
Nama Allah boleh dijaja. Sambil melakonkan aksi berzikir, tidak mustahil penyamun sedang memunggah harta.
Kalimah Allah sejak lama dulu telah diperguna sebagai kunci oleh puak ini. Hanya dengan lafaz bismillah, kita jadi terpana. Setelah tersedar, kita akhirnya ternganga apabila harta dalam agensi Islam habis disapu penunggang agama!
Istilah penunggang agama sebelum ini hanya diguna secara rambang. Selalunya, menjadi kata sindiran bagi jenaka kelas bawahan. Ungkapan laser bagi mereka yang berlagak beragama tujuan mempopularkan diri.
Namun, isitilah ini kini berkembang dan mulai meluas. Ia jadi istilah yang relevan, apabila kita terperanjat melihat tokoh-tokoh pentadbir agama berprofil tinggi.
Muncul dengan imej alim tetapi akhirnya dikaitkan dengan jenayah melingkupkan agensi Islam melalui salah guna kuasa dan ras
Ada sindiran dan rakan saya selalu menggunakannya: “Apabila seseorang itu datang dan berulang kali menjaja nama Allah, kena hati-hati. Zaman ini penyamun memang bertopeng agama.”
Tiga tahun lalu, saya terkejut dan berasa ungkapan ini sangat prejudis. Malah, istilah ini kurang cermat. Namun, masa adalah guru yang terbaik. Masa mengajar kita.
Walaupun saya sendiri pernah melihat jenayah korupsi yang dilakukan pentadbir yang bertopeng agama, kesimpulan peribadi tidak pernah sampai sekeras itu.
Namun, apabila kes Tabung Haji dan Yapeim didedahkan dan melihat agensi yang 100% diamanahkan atas nama Islam dipergok dan disamun sedemikian rupa, saya percaya – penunggang agama kini satu ancaman yang sangat berbahaya.
Kita akan terus mendengar dan mendengar, kerana pihak berkuasa akan terus menyiasat dan menyelongkar, isu penunggang agama dan kes-kes penyonglapan di agensi-agensi Islam.
Malah, genre gelaran ini bukan lagi isu untuk si anarkis agama yang bergelut mencari populariti. Sebaliknya, sudah berkembang.
Penunggang agama kini syaitan yang semakin besar jubahnya. Pastinya saiz pakaian itu untuk menyembunyikan hasil rompakan mereka! – 19 Mei, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen