PIHAK berkuasa Belgium memindahkan Mehdi Nemmouche, pelampau warga Perancis yang membunuh empat orang di sebuah muzium Yahudi pada 2014, ke Paris untuk disoal berhubung peranannya dalam penculikan empat wartawan di Syria pada 2013, kata sumber pada Jumaat.
Nemmouche, 34, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Mac kerana amukan anti-Semitik di Brussels, apabila beliau menembak mati dua orang pelancong Israel, seorang sukarelawan Perancis dan pekerja Belgium.
Serangan muzium itu datang selepas beliau kembali dari medan perang Syria, dengan Nemmouche dituduh menyamar sebagai individu terlibat dalam kes empat wartawan Perancis yang ditawan pengganas di bandar utara Aleppo pada 2013.
Semasa perbicaraannya di Brussels, dua daripada wartawan itu memberi keterangan mereka tidak mempercayai Nemmouche adalah seorang daripada penculik mereka.
Beliau dibawa ke Perancis pada Rabu dan ditahan di penjara Meaux-Chauconin di timur Paris, kata sumber perundangan, mengesahkan laporan dalam majalah Perancis L’Express.
Nemmouche dan Nacer Bendrer, rakannya dalam serangan muzium, dijangka akan menjalani hukuman mereka di Perancis.
Malah sebelum perbicaraan di Brussels seorang hakim Perancis memanggil Nemmouche ke Perancis untuk menyoal mengenai penculikan itu, tetapi beliau enggan bercakap.
Wartawan itu ditawan oleh kumpulan Islamic State di Aleppo selama 13 bulan sehingga pembebasan mereka pada April 2014. Ketika ditemui, mata mereka ditutup dan tangan diikat di sempadan antara Syria dan Turki.
Nicolas Henin, seorang daripada wartawan yang diculik, menyifatkan Nemmouche dalam artikel majalah pada akhir tahun lalu sebagai “seorang yang berfantasi mementingkan diri yang menjadikan jihad alasan untuk memuaskan keinginannya demi kemasyhuran”. – AFP, 19 Mei, 2019.
Komen