PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mengatakan Turki dan Rusia akan bersama-sama menghasilkan sistem pertahanan S-500 selepas kontroversi pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Ankara daripada Moscow.
Tindakan Turki untuk membeli S-400 membangkitkan ketegangan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang berulang kali memberi amaran kepada Ankara mengenai risiko termasuk sekatan akibat pembelian itu.
“Tiada persoalan yang timbul mengenai penarikan (Turki) daripada pembelian S-400. Perjanjian itu sudah dibuat,” kata Erdogan di Istanbul.
“Akan ada pengeluaran bersama S-500 selepas S-400,” kata Erdogan kepada hadirin yang bertanya.
Hubungan panas antara sekutu NATO, Turki dan AS dengan pelbagai isu termasuk sokongan Amerika terhadap militan Kurdish Syria yang dianggap sebagai pengganas oleh Ankara dan kegagalan Amerika mengekstradisi seorang pendakwah Islam yang dipersalahkan atas percubaan rampasan kuasa pada 2016 terhadap Erdogan.
Washington berkata perjanjian dengan Moscow adalah ancaman terhadap pertahanan Barat dan pada April menggantung penghantaran jet pejuang F-35 ke Turki dalam usaha untuk menghentikan pembelian itu.
Juruterbang Turki berada di AS menerima latihan F-35, yang dihasilkan oleh Lockheed Martin. Turki dijangka membeli 100 jet secara keseluruhannya.
Erdogan berkata Turki menjalankan kajian teknikal ketika kebimbangan AS mengenai kesesuaian S-400 dan F-35 tetapi mendapati ia tidak mempunyai sebarang masalah.
Beliau juga menegaskan “lambat laun” Turki akan menerima jet F-35.
Walaupun diancam dengan sekatan, Erdogan mengulangi S-400 dijangka akan dihantar pada Julai, “tetapi ia mungkin boleh dibawa ke hadapan”, tambahnya. – AFP, 19 Mei, 2019.
Komen