RIZAL, seorang pekerja swasta, tiada pilihan terpaksa sekali lagi membuat pinjaman peribadi dengan syarikat pinjaman wang berlesen untuk sambutan hari raya tahun ini, sama seperti yang dilakukannya sejak dua tahun lalu.
Rizal tahu langkah itu bukan keputusan yang bijak tetapi beliau tiada pilihan lain selepas syarikat tidak lagi memberi bonus kepada kakitangan untuk sambutan perayaan kesan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Saya terdesak kerana nak menampung perbelanjaan raya sangat tinggi, kita pula tidak ada simpanan.
“Duit gaji setiap bulan hanya cukup makan, bayar hutang kereta dan rumah, tambah lagi harga barang naik, jadi memang gagal nak menyimpan.
“Jadi terpaksalah meminjam… kalau tidak, tak berayalah anak- anak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Rizal, 35, wang pinjaman itu beliau pakai untuk membeli kelengkapan raya keluarga termasuk pakaian, kuih muih, duit raya dan kos perbelanjaan balik kampung. Kampungnya di Kedah, rumah mertuanya di Johor.
“Balik kampung mestilah kita belanja juga keluarga makan. Anggaran saya peruntukan RM1,000 untuk perbelanjaan balik kampung, Kedah dan Johor,” katanya, yang mengakui tiada masalah setakat ini untuk membayar balik pinjaman itu.
Meminjam di institusi kewangan sama ada di bank, peminjam wang berlesen atau dengan “along” sekalipun ketika musim perayaan bukan perkara baru buat rakyat Malaysia – ia kini sudah jadi satu trend.
Naib Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia (PPW) Amrinderjit Singh berkata pihaknya tahun lalu mengeluarkan pinjaman berjumlah RM37.5 juta bagi tujuan sambutan raya.
Tidak hanya syarikat peminjam wang berlesen, beberapa buah bank juga kini berlumba-lumba menawarkan pinjaman peribadi menjelang sambutan hari raya pada minggu pertama Jun ini.
Kaji selidik terbaru Mobylize, aplikasi syarikat permulaan Moby Fintech Sdn Bhd, mencadangkan 75% rakyat Malaysia berkemungkinan tinggi mendapat pinjaman peribadi daripada institusi kewangan menjelang hari raya.
Presiden Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (Milma) R.C Veeraseelan pula berkata pihaknya mengesan peningkatan permohonan pinjaman peribadi antara 20% hingga 30% menjelang musim perayaan.
“Biasanya untuk sambutan tahun baru, hujung tahun atau awal tahun ketika pelajar masuk sekolah, musim pelajar masuk universiti dan musim perayaan, memang ada peningkatan yang ketara berbanding biasa pada musim itu,” katanya.
Jelas beliau, rata-rata mereka meminjam RM5,000 tetapi ada juga yang memerlukan bantuan serendah RM500.
Namun menurut Amrinderjit, PPW pernah juga mendapat permohonan pinjaman untuk memberi kereta baru bagi kegunaan hari raya.
“Kebiasaannya alasan mereka nak pinjam masalah peribadi untuk beli-belah bagi persiapan raya, duit balik kampung dan ramai pinjam sebab nak beli kereta untuk buat duit pendahuluan,” katanya.
Media tahun lalu juga melaporkan ada trend segelintir rakyat Malaysia berbelanja berpuluh ribu ringgit menyewa kereta mewah untuk balik kampung pada hari raya, bercuti atau untuk majlis perkahwinan.

Wajib berbelanja setahun sekali
Khairy Hasan, 28, mengaku ada antara kawan-kawannya yang meminjam wang semata-mata untuk menyambut hari raya termasuk untuk menyewa atau membeli kereta baru.
“Ada kawan saya apabila raya tukar kereta, iyalah, sebab nak balik kampung. Ada juga yang sanggup sewa kereta semata-mata nak tunjuk.
“Saya tak begitulah, tak sampai tukar kereta… paling kurang pun saya cuma tambah aksesori kereta saja,” katanya, yang masih bujang.
Jelas Khairy, untuk persiapan sambutan hari raya, beliau sudah menyediakan simpanan awal sehingga RM3,000 untuk keperluannya sendiri dan ibu bapa.
Hasnah Abu Hasan, 45, juga mengaku menyimpan wang sehingga RM4,000 untuk persiapan hari raya.
“Tahun ini perbelanjaan naik sebab barang mahal. Bagi kami sekeluarga lima orang baju wajib beli setiap tahun… kena sama tema keluarga.
“Lepas itu beli untuk mak mertua, ayah untuk keluarga sendiri juga. Nak bagi duit raya pun itu banyak juga perbelanjaa. Nak tak nak kena sediakan juga,” katanya.
Trend pinjam membimbangkan
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia Fomca melihat trend rakyat Malaysia meminjam semata-mata untuk menyambut perayaan sebagai membimbangkan.
Timbalan presidennya Mohd Yusof Abdul Rahman berkata rata-rata pengguna umumnya berbelanja melebihi kemampuan semasa menyambut hari raya.
“Kita tahu semasa perayaan memang perlukan sejumlah wang jadi sebab itu banyak kes yang tak bersedia…tak cukup. Jadi jalan mudah, mereka buat pinjaman… selepas raya mereka bayar sikit-sikit,” katanya.
Jelas Yusof, budaya meminjam wang untuk menyambut perayaan itu bagaimanapun katanya lebih untuk mempertahankan gaya hidup.
“Sebenarnya boleh berjimat, tak semestinya tiap tahun kena tukar beli baru. Beli baju baru tetapi sudah biasa budaya begitu, kalau raya kena beli juga…tak boleh tak beli,” katanya.
Tambah beliau, budaya meminjam wang jadi masalah apabila pengguna meminjam di tempat yang tidak sepatutnya dan gagal membayar balik hutang.
“Banyak kes begini kita terima, banyak pinjam dekat along sebab nak lulus cepat pinjaman tapi mereka tak dapat bayar.
“Sebab itu kita sarankan supaya bersederhana untuk sambut hari raya, buatlah persediaan dengan menyimpan awal,” katanya. – 19 Mei, 2019.
Komen