MCA perlu juarai isu rakyat, bukan saja isu pendidikan Cina, kata Chua Soi Lek


Khoo Gek San

Bekas presiden MCA, Chua Soi Lek berkata parti itu tidak berdebat dengan kerajaan pemerintah tentang cara untuk meringankan beban rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2019.

MCA perlu berfikir jauh selain hanya menjuarai isu pendidikan masyarakat Cina dan mula membangkitkan isu-isu berkepentingan negara jika mahu kembali bersinar dalam dunia politik Malaysia, kata Dr Chua Soi Lek.

Bekas presiden MCA itu berkata parti tersebut gagal menyampaikan kebimbangan masyarakat Cina iaitu kesan buruk kemerosotan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

“Terdapat banyak isu nasional, tetapi kepimpinan MCA tidak fokus hal-hal ekonomi walaupun isu kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Parti itu tidak berdebat dengan kerajaan pemerintah tentang cara untuk meringankan beban rakyat.

“Parti itu hanya bersuara mengenai isu pendidikan orang Cina dan UEC,” katanya merujuk kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu.

“Sebelum 9 Mei (2018), MCA berkata mereka akan membina lebih banyak sekolah Cina dan menukar lokasi sebahagiannya. Adakah itu sahaja kemampuan MCA sebagai komponen parti pemerintah? Rakyat mahu parti itu membangkitkan isu nasional.”

Chua berkata selain tertumpu isu yang sempit, MCA juga dilanda krisik politik wang dan krisis dalaman, menyebabkan parti itu menjadi lemah dan mencatat keputusan memalukan dalam dua pilihan raya umum lepas.

Pada pemilihan parti itu, Wee Ka Siong muncul sebagai presiden baharu manakala Mah Hang Soon dipilih sebagai timbalannya. 

Seteru mereka, Gan Ping Sieu dan Tee Siew Keong serta sekutu mereka tidak dipilih langsung memegang mana-mana jawatan dalam parti.

“Saya ucapkan tahniah kepada Wee kerana dibawah kepimpinannya, pasukannya berjaya mencapai kemenangan besar,” kata Chua yang menyokong pasukan Gan dan Tee.

Beliau berkata keputusan pemilihan parti itu menunjukkan kekalahan besar kepada pasukan pilihannya tetapi beliau telah menjangkakan keputusan itu.

“Kami tidak bernasib baik pada sesi pemilihan lepas, tetapi masih ramai yang memegang kedudukan dalam parti,” kata Chua.

Chua berkata walaupun MCA hampir kalah sepenuhnya pada pilihan raya lepas, beliau yakin parti itu mampu bangkit selagi usaha pembaharuan parti dilakukan dengan berkesan.

“Saya tidak katanya bahawa MCA tidak mempunyai bakat baharu, tetapi saya fikir parti itu mempunyai masalah dalaman,” katanya.

Chua juga memuji prestasi Wee setakat ini dalam memimpin parti tetapi katanya akar umbi parti perlu bergerak lebih jauh berbanding objektif asalnya.

“Wee memimpin dengan baik, tetapi beliau hanya seorang sahaja. Sebagai parti pembangkang, anda perlu bekerjasama dengan akar umbi di peringkat negeri dan persekutuan.

“Jika hanya seorang sahaja bersuara di Parlimen dan tiada siapa yang menyokongnya, tiada siapa yang sedar kehadiran anda,” katanya. – 19 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen