MCA perlu keluar BN jika mahu bangkit, kata bekas presiden


Khoo Gek San

Bekas presiden MCA Dr. Chua Soi Lek berkata parti itu akan hilang undi Melayu jika meninggalkan bekas parti pemerintah yang diketuai Umno, tetapi MCA tidak mempunyai pilihan jika mahu kembali memulihkan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2019.

MCA masih berpeluang mengembalikan zaman kegemilangannya jika parti itu keluar Barisan Nasional (BN) dan meneroka kerjasama dengan Gerakan, MIC dan Parti Progesif Penduduk (MyPPP), kata Dr Chua Soi Lek.

Bekas presiden MCA itu berkata parti itu akan hilang undi Melayu jika meninggalkan bekas parti pemerintah yang diketuai Umno, tetapi MCA tidak mempunyai pilihan jika mahu kembali memulihkan parti.

Pada pilihan raya umum lepas, MCA mengalami kekalahan memalukan apabila hanya mengekalkan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pada Mac lalu, MCA dan MIC mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN untuk memutuskan nasib gabungan itu selepas melihat konsep kepelbagaian kaum blok pembangkang itu tidak lagi diterima.

Malah pemimpin Umno Nazri Aziz yang juga merupakan pengerusi BN tidak akan menghalang hasrat kedua-dua parti itu untuk meninggalkan BN.

Presiden MCA Wee Ka Siong dan A Vigneswaran dari MIC dalam kenyataan bersama berkata mereka tidak mempunyai pilihan selain bergerak ke depan dan meneliti kemungkinan membentuk pakatan baharu.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, MCA mengumumkan keputusan untuk kekal bersama BN bagi mengukuhkan kerjasama antara pelbagai kaum dan memastikan jurang politik perkauman tidak melebar.

Chua yang dipilih sebagai presiden MCA pada 2010, memberitahun The Malaysia Insight bahawa parti itu hilang penghormatan dalam kalangan masyarakat Cina dan keadaan itu akan berterusan jika kekal bersama BN, lebih-lebih lagi Umno sudah bekerjasama dengan PAS.

Beliau berkata MCA perlu membincangkan kerjasama dengan Gerakan, MIC dan MyPPP.

“PAS konsisten untuk melaksanakan undang-undang syariah dan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Masyarakat Cina tidak boleh terima perkara ini.

“Pada pilihan raya umum ke-13, DAP dan PAS bekerjasama dan memperoleh sokongan, tetapi kini DAP tidak mahu dikaitkan lagi dengan PAS,” kata Chua.

Chua meletak jawatan selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum pada 2013.

Katanya walaupun sudah tidak terlibat secara aktif dalam politik, kepimpinan MCA melihatnya sebagai musuh dan mahu mengekangnya kembali berkecimpung dalam politik.

Ditanya sama ada beliau pernah berkongsi pengalaman dan nasihat kepada kepimpinan MCA, Chua berkata beliau tidak lagi dialu-alukan oleh pucuk pimpinan parti itu.

“Saya merupakan satu-satunya pemimpin yang kalah tiga kali dan bangkit semula setiap kali kalah.

“Ini disebabkan sokongan yang diberikan kepada saya dari setiap peringkat. Saya mendedikasikan separuh hidup kepada MCA. 30 tahun lamanya,” katanya.

“Jika saya beritahu mereka (untuk bangkit), ianya tidak penting. Saya tidak lagi diterima dalam MCA. Mereka fikir mereka tidak boleh membina keyakinan ahli parti dengan membenarkan seseorang yang tewas tiga kali bercakap mengenai perkara itu.

“Saya mungkin tidak menang dalam semua perjuangan, tetapi tiada siapa boleh nafikan saya mempunyai pengalaman.

“Saya bercakap jujur mengenainya dan bukannya untuk menyenangkan hati semua orang. Anda tidak perlu bersetju dengan saya, itulah yang perlu ada dalam kepimpinan parti.” – 19 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen