BEKAS perdana menteri Australia Tony Abbott yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik usaha saintis menangani perubahan iklim, tewas mengejut pada pilihan raya negara itu, hari ini.
Abbott yang pernah menjadi perdana menteri pada 2013 hingga 2015, memegang kerusi Warringah di utara Sydney hampir 25 tahun.
Namun beliau tidak dapat mempertahankan kerusi itu apabila menerima cabaran kuat daripada calon bebas dan bekas atlet Olimpik, Zali Steggall.
Selain itu, kempen aktivis terhadap perubahan iklim juga menjadi faktor kekalahan Abbott yang gagal meraih sokongan dalam kalangan pengundi di kawasan pesisiran pantai itu.
Walaupun belum ada keputusan muktamad, kerajaan gabungan konservatif yang dipimpin Perdana Menteri Scott Morrison mencapai keputusan yang lebih baik dari jangkaan.
Abbott mengakui kekalahan itu kurang tiga jam selepas undian ditutup.
“Saya tidak katakan bahawa kekalahan ini tidak menyakitkan. Saya lebih suka hadapi kekalahan daripada tidak melawan,” katanya kepada penyokong.
“Selalu diperkatakan bahawa kehidupan ini akan berakhir dengan buruk, tetapi saya tidak akan biarkan kekalahan hari ini merosakkan kejayaan selama 25 tahun.”
Saingan di Warringah berlangsung tegang apabila seorang sukarelawan Abbot ditikam di perut dengan garpu lewat semalam ketika memasang poster kempen.
Calon Parti Liberal itu menyifatkan kejadian itu sebagai sisi buruk kempen pilihan raya. – AFP, 18 Mei, 2019.
Komen