Bekas pemimpin gerila Colombia ditahan selepas keluar penjara


Jesus Santrich yang berkerusi roda, ditahan sebaik sahaja keluar dari pintu penjara La Picota di selatan Bogota. – Gambar EPA, 18 Mei, 2019.

SEORANG bekas pemimpin gerila sayap kiri yang dikehendaki Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan mengedar dadah ditahan pada hari dia dibebaskan dari penjara di Colombia pada Jumaat, kata partinya.

Jesus Santrich, bekas pemimpin pemberontak FARC yang buta matanya, dibebaskan atas perintah mahkamah khas yang ditugaskan untuk menilai kesalahan jenayah yang dilakukan semasa konflik bersenjata Colombia yang berlangsung selama separuh abad.

FARC adalah singkatan kepada Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia yang kemudiannya menjadi parti politik Angkatan Revolusi Alternatif Umum.

Bidang Kuasa Khas bagi Keamanan (JEP) mengarahkan Santrich, 52, dibebaskan bagi mematuhi “jaminan bukan ekstradisi” yang merupakan sebahagian daripada perjanjijan damai 2016 yang menamatkan pemberontakan 50 tahun FARC.

Santrich yang berkerusi roda, ditahan sebaik sahaja keluar dari pintu penjara La Picota di selatan Bogota. Dia ditahan oleh pendakwa raya sebelum dan dibawa pergi menaiki sebuah helikopter ke destinasi yang tidak diketahui.

Menurut sumber, Santrich dibawa ke ibu pejabat pendakwa rayadi Bogota.

Dalam satu kenyataan, pejabat pendakwa raya berkata mereka memperoleh waran menangkap lelaki itu berkaitan siasatan pengedaran dadah.

Santrich, atau nama sebenarnya Seuxis Paucias Hernandez, disyaki terlibat dalam pengedaran 10 tan kokain ke AS antara Jun 2017 dan April 2018, selepas menandatangani perjanjian damai pada Disember 2016 itu.

Perjanjian damai menyebut mana-mana bekas gerila yang melakukan kesalahan selepas menurunkan tandatangan akan diadili di mahkamah biasa dan hilang faedah yang diberikan perjanjian itu, seperti larangan ekstradisi. – AFP, 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen