AHLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil membuat laporan polis berhubung sebuah video tular yang memaparkan ucapan pegawai tertinggi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia Yapeim mengugut stafnya agar tidak mengundi Pakatan Harapan (PH).
Dalam laporannya itu, Fahmi meminta pihak polis mengesahkan bahawa pemberi ucapan tersebut ialah Ketua Pengarah Yapeim Abibullah Samsudin seperti didakwa.
Beliau meminta pihak polis menyiasat bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kerana pengaruh tak wajar.
“Jika benar sah orang itu ialah Ketua Pengarah Yapeim Abibullah, jadi beliau perlu didakwa.
“Saya sebagai ahli Parlimen berpandangan tindakan mengugut kakitangan untuk tidak mengundi parti lain, merupakan satu pelanggaran undang-undang yang perlu diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau berkata jika terbukti pelaku tersebut ialah Abibullah maka ketua pengarah itu perlu diheret ke mahkamah.
Bagaimanapun Fahmi yang membuat laporan polis di Balai Polis Pantai berkata beliau hanya meminta polis menyiasat kes itu dan bawa ke mahkamah jika benar bersalah, bukannya mengambil tindakan memecat ketua pengarah itu.
“Bukan untuk pecat tapi kita nak tindakan di mahkamah sebab ia (tindakan) jelas. Mesej adalah jelas jangan sekali ugut kakitangan mereka untuk pengaruh cara mereka mengundi,” katanya.
Khamis lepas sebuah video tular memaparkan ucapan dipercayai Abibullah mengugut kakitangan jangan mengundi PH.
Video tersebut berdurasi hampir dua minit dipercayai dirakam sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam video tersebut pegawai itu juga mengugut akan memeriksa satu persatu undi kakitangannya.
“Kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di Yapeim. Pergilah cari kerja dengan DAP,” seperti dipetik video tersebut.
The Malaysian Insight sebelum ini cuba mendapatkan pengesahan daripada Abibullah namun tiada maklum balas diterima.
Yapeim menjadi perhatian umum apabila beberapa pendedahan mengenai salah urus dan penyelewengan didedahkan dalam laporan eksklusif The Malaysian Insight. – 18 Mei, 2019.
Komen