KOREA Utara menuntut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil “langkah-langkah segera” untuk membantu mengembalikan kapal kargo yang dirampas oleh Amerika Syarikat, di samping menyifatkan rampasan itu sebagai satu tindakan “samseng”.
Washington mengumumkan minggu lalu bahawa mereka telah mengambil alih pengangkut pukal yang diadaftarkan dengan nama M / V Wise Honest milik Korea Utara - setahun selepas ia ditahan di Indonesia - kerana didakwa melanggar perintah sekatan.
Rampasan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak selepas Pyongyang menjalankan latihan senjata yang melibatkan peluru berpandu jarak dekat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ditambah pula dengan perbincangan nuklear gagal sejak pertemuan AS-Korea Utara di sidang kemuncak Hanoi antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un awal tahun ini.
Dalam satu surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada hari Jumaat, wakil tetap Kim Song - Perwakilan Pyongyang di PBB - berkata kejadian itu adalah “perbuatan yang menyalahi undang-undang dan keterlaluan.”
“Tindakan rampasan ini jelas menunjukkan bahawa Amerika Syarikat adalah negara samseng yang tidak peduli tentang undang-undang antarabangsa,” kata surat itu.
Wakil Korea Utara menggesa Guterres untuk “mengambil tindakan segera sebagai cara menyumbang terhadap kestabilan semenanjung Korea dan membuktikan keadilan diperjuangkan PBB”.
Awal minggu ini, Pyongyang mengecam penyitaan kapal itu sebagai “penafian secara terang-terangan” semangat kenyataaan yang ditandatangani bersama oleh Kim dan Trump pada sidang kemuncak pertama mereka di Singapura tahun lalu.
Korea Utara disahkan berada di bawah sekatan dalam beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB berikutan program nuklear dan peluru berpandunya, dan mengangkat sebahagian daripada sekatan itu adalah permintaan utama Pyongyang pada sidang kemuncak Trump-Kim kali kedua pada Februari lalu yang berakhir gagal tanpa apa-apa perjanjian. – AFP, 18 Mei, 2019.
Komen