Pragmatisme dalam arena politik


Wan Hamidi Hamid

Jika Pakatan Harapan tergelincir dari landasan prinsip, ia hanya akan mengulangi apa yang dilakukan oleh Umno-BN apabila berkuasa nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

PERSEPSI politik bukan gambaran sebenar arena politik. Namun ia hakikat yang popular. Pragmatisme bukan amalan terbaik politik. Namun ia menjadi pilihan kerana memudahkan pengamalnya melompat ke kiri dan kanan, depan dan belakang, tanpa rasa bersalah.

Menurut Kamus Dewan Online, pragmatisme adalah “kepercayaan bahawa kebenaran atau nilai sesuatu teori, ajaran, doktrin dan sebagainya bergantung pada kegunaannya secara praktik”. Dengan kata lain, amalan pragmatik adalah apa-apa saja asalkan ia dapat dilaksanakan dan berjaya.

Untuk menyusuri amalannya di Malaysia, kita lihat persepsi tentang kehadiran semula bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam politik arus perdana. Ada yang melihat beliau sebagai punca kemelut politik hari ini.

Dr Mahathir yang memecat dan memenjarakan anak didik politiknya Anwar Ibrahim. Kerana itu lahir gerakan Reformasi yang mahu menjatuhkan Dr Mahathir serta Umno dan Barisan Nasional pada 1998-1999.

Gerakan Reformasi gagal di segi politik tetapi ia memberi kesan kepada kesedaran minda rakyat. Dr Mahathir kemudiannya bersara pada 2003. Namun penggantinya Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak tetap ditentang kerana Umno-BN tidak berubah – masih mengekang kekebasan, menyalahgunakan kuasa, menggawatkan ekonomi, menggalakkan perkauman, membenar dan menutup penyelewengan.

Kini Dr Mahathir muncul semula untuk melawan Najib. Berbeza daripada kritikannya terhadap Abdullah dulu, kali ini beliau benar-benar bertekad mahu menjatuhkan Najib dan Umno-BN sehingga menubuhkan wadah baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Atas tekad itu, pimpinan Pakatan Harapan, termasuk Anwar, Wan Azizah Ismail, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang, setuju untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir demi menumbangkan Najib. Kerana persetujuan ini, ada kalangan penyokong Pakatan Harapan yang tidak selesa, malah ada yang marah.

Dr Mahathir sering mengakui beliau seorang pragmatis. Pragmatisme beliau tidak memerlukan sebarang ideologi. Pragmatisme itu menganggap ia bijak kerana dapat menyelesaikan masalah hari ini tanpa mempedulikan kesannya esok dan pada tahun-tahun mendatang.

Pragmatisme itu dikatakan menjadi asas kejayaan utama Mahathirisme yang mengimbang kuasa Umno-BN sepanjang 22 tahun pentadbirannya; malah diteruskan oleh Abdullah dan Najib.

Tanpa nilai, prinsip dan ideologi, ruang minda pimpinan dan rakyat mudah disumbat emosi politik ketuanan kaum dan agama. Inilah kesan kemelut politik dan kuasa di Malaysia hari ini.

Ada kalangan orang merasakan Dr Mahathir sudah sedar dengan kesilapannya mencadang dan menyokong kedua-dua Abdullah dan Najib, dan dengan itu, mahu memperbetulkan semula keadaan. Sama ada kita percaya atau tidak, itu antara persepsi popular hari ini.

Dalam keadaan negara yang semakin hilang kebebasan dan hak, mana-mana pihak yang mahu menumbangkan Najib dengan cara yang demokratik dan sah sedar mereka perlu bekerjasama dengan banyak pihak, termasuk Dr Mahathir.

Tetapi jika kerjasama itu hanya mencapai tahap pragmatisme tanpa sebarang program berasaskan ideologi, atau sekurang-kurangnya dengan nilai dan prinsip asas seperti keadilan, kebebasan, kesaksamaan, maka tidak mustahil kejatuhan Najib boleh membangkitkan pula kebobrokan yang lebih teruk. Ia bakal menjadi seperti terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.

Seperti yang sedang berlaku di Asia Barat, setiap kali rejim diktator ditumbangkan oleh kuasa pragmatis Barat, akan muncul bencana yang lebih dahsyat dan memudaratkan.

Ini tidak bererti diktator tidak perlu ditumbangkan; hanya ia perlu dilakukan berasaskan nilai atau prinsip, dan tentunya dengan sokongan rakyat pelbagai agama, kaum, dan gender dari merata wilayah dan negeri.

Walaupun pragmatisme terbukti berkesan pada tahaptertentu, ia masih alasan malas untuk jalan pintas ke tampuk kuasa. Ia sudah lama menjadi amalan Umno-BN.

Jika Pakatan Harapan mahu menggantikan pemerintahan yang ada, ia perlu ada iltizam, kesungguhan dan pembaharuan. Ia tidak boleh sekadar slogan baru dengan set dan skrip yang lama. Ia perlu berani menangani retorik agama dan kaum yang biasanya dijadikan alat untuk melindungi penyelewengan, salah guna kuasa dan amalan diskriminasi.

Jika Pakatan Harapan tergelincir dari landasan prinsip, ia hanya akan mengulangi apa yang dilakukan oleh Umno-BN apabila berkuasa nanti.

Malah, jika sebelum pilihan raya umum diadakan, Pakatan Harapan sudah terlampau berkompromi atas nama pragmatisme, ia bakal menjadi ratahan Umno-BN yang lebih cekap dan mahir dalam permainan itu.

Berpegang kepada prinsip tidak pula bermakna bertuhankan teori dan ideologi. Juga tidak bererti menganggap diri kita suci manakala orang lain semuanya tidak betul.

Prinsip dan ideologi juga perlu kepada kompromi; dan untuk mencapai kompromi yang baik, perlu dikurangkan ego dan angkuh, perlu menerima hakikat orang lain juga ada idea lebih baik, dan perlu sentiasa muhasabah diri.

Persoalan wajar digalakkan, idea memang patut dibahaskan, namun tolak ansur dan saling faham memahami juga merupakan kunci keharmonian.

Sudah tentu ramai yang berkata: cakap memang senang, nak buat susah. Persoalannya, adakah kerana susah nak buat, lebih baik jangan buat, dan terus menari mengikut rentak gendang Umno-BN serta konco-konconya yang semakin ghairah dengan politik ketuanan kaum dan agama? –  22 September, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen