Cuba akan lindungi pelabur asing walau berdepan ancaman AS 


Washington baru-baru ini mengaktifkan Tajuk III Akta Helms-Burton untuk memperketat sekatan terhadap Havana. – Gambar AFP, 18 Mei, 2019.

PIHAK berkuasa Cuba pada Jumaat berkata negara itu akan melindungi usahawan asing yang kepentingan mereka mungkin terjejas susulan sikap permusuhan Amerika Syarikat (AS) terhadap Cuba, lapor agensi berita China Xinhua.

Kerajaan Cuba akan melaksanakan “segala bentuk jaminan” dalam kerangka perundangan negara itu bagi melindungi syarikat asing daripada terjejas selepas AS mengguna pakai Tajuk III Akta Helms-Burton, kata Menteri Perdagangan dan Pelaburan Asing Cuba Rodrigo Malmierca dalam satu pertemuan dengan ahli perniagaan asing serta diplomat.

Washington baru-baru ini mengaktifkan Tajuk III Akta Helms-Burton untuk memperketat sekatan terhadap Havana.

Tajuk III Akta Helms-Burton membolehkan saman difailkan di mahkamah AS terhadap syarikat-syarikat yang beroperasi di hartanah yang dirampas kerajaan Cuba selepas 1959.

Ia telah digantung oleh setiap presiden AS sejak 1996.

Kerajaan Cuba telah mengulangi beberapa kali bahawa syarikat asing mempunyai keselamatan undang-undang yang sepenuhnya di bawah perlindungan Undang-Undang 118 Pelaburan Asing yang mempertahan pelaburan yang mempunyai faedah bersama. 

Langkah terkini Amerika Syarikat itu mendapat tentangan heba daripada Kesatuan Eropah dan Kanada, yang mempunyai pelaburan berbilion dolar di Cuba. – Bernama, 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen