KEPUTUSAN muktamad pemilihan presiden Indonesia 17 April lalu akan diketahui paling lambat sebelum 28 Mei ini, kata suruhanjaya pilihan raya (KPU) republik itu.
Ketuanya Arief Budiman berkata keputusan paling cepat boleh disahkan pada 26 Mei, sekiranya tiada tindakan mahkamah dikemukakan untuk membantah keputusan.
“Kalau tanggal 25 Mei tidak ada [saman], maka KPU dalam waktu tiga hari kemudian tanggal 26, 27, 28 Mei itu paling lama sudah boleh menetapkan calon terpilih,” katanya, seperti dipetik portal berita Tirto.id.
Peraturan pilihan raya Indonesia menetapkan tiga hari selepas KPU menetapkan keputusan pemilihan.
Sekiranya ada tindakan mahkamah, keputusan pemilihan presiden akan diputuskan sebelum 15 Jun ini.
Jelas Arief, pihaknya akan mengumumkan keputusan muktamad pemilihan yang tidak dibantah melalui keputusan mahkamah.
“Yang tidak ada saman boleh ditetapkan, yang ada saman penetapannya menunggu keputusan (mahkamah),” katanya.
Arief juga dipetik berkata pihaknya sedia menghadapi segala kemungkinan termasuk tindakan saman oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan.
Pilihan raya presiden pada 17 April lalu adalah bagi menentukan mandat sehingga 2024.
Presiden Joko Widodo, yang kali ini memilih regu tokoh ulama Ma’aruf Amin, sekali lagi dicabar Prabowo Subianto dan pasangannya Sandiaga Uno.
Jokowi, yang lima tahun lalu menang tipis mengatasi Prabowo, mendahului semua kiraan cepat yang dilakukan pelbagai badan kaji selidik. – 18 Mei, 2019.
Komen